suria

Henti Jual Darjah Kebesaran Johor!

PETALING JAYA: Kerajaan Johor memberi amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengiklankan penjualan darjah kebesaran negeri itu menerusi media sosial, dan menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tawaran itu.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, pihaknya memandang berat perkara tersebut susulan menerima beberapa maklumat mengenai penjualan tanda kemuliaan dan kebesaran Johor, antaranya Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan Pingat Kemahkotaan Sultan Johor.

"Tanda kemuliaan dan kebesaran Johor adalah kurniaan Sultan Johor di atas jasa, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, dan perkhidmatan cemerlang mereka kepada raja, negeri dan rakyat.

"Tanda kemuliaan itu tidak sepatutnya diperniagakan, atau disalahgunakan untuk tujuan keuntungan. Pihak yang bertanggungjawab itu hendaklah menghentikan perbuatan mereka serta-merta, sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya dalam kenyataan di laman sosial Royal Johor pada Khamis.

Kenyataan Datuk Abdul Rahim Ramli.

Abdul Rahim menegaskan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang berkuat kuasa pada 23 Mac tahun lalu.

"Fasal 3 enakmen itu memperuntukkan mana-mana orang yang menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah Sultan Johor bagi maksud perdagangan, perniagaan atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian tanpa kebenaran bertulis daripada raja adalah satu kesalahan," katanya.

Beliau menambah, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau dipenjarakan tidak kurang setahun atau tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya. 


darjah kebesaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain