KUALA LUMPUR: Seorang bekas banduan dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki satu unit buku lima ketika mengumpil tabung masjid, tahun lepas. Hakim Mahazan Mat Taib menjatuhkan hukuman itu terhadap Fazly Mohd Yusof, 22, yang kini tidak bekerja dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 22 Oktober 2017. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Apartment Desa Tun Razak, Cheras, pada 6 pagi 22 Oktober 2017, mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan maksimum 10 tahun penjara. Pada Oktober 2017, tertuduh dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri tabung masjid. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara yang ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana ia adalah kesalahan serius dan melibatkan kepentingan awam. Mengikut fakta kes, ketika kejadian pengadu yang merupakan penduduk di kawasan terbabit melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengumpil peti tabung surau menggunakan spanar boleh laras yang dipasang di bangunan apartmenberkenaan. Pengadu bersama saksi polis telah menghampiri lelaki itu dan ketika pemeriksaan dijalankan terdapat seunit buku lima berwarna perak yang dibalut dengan pita pelekat warna hitam pada tubuh badan tertuduh.-- Bernama