KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengadakan pemeriksaan rambang ke atas penumpang dari Sabah di lapangan terbang Semenanjung Malaysia untuk memantau penggunaan kad pengenalan palsu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian untuk memberi reaksi terhadap laporan berita yang mendakwa terdapat suspek pengganas menetap di Semenanjung Malaysia dan menggunakan kad pengenalan palsu yang diperolehi dari Sabah. "Saya telah meminta ketua pengarah imigresen untuk mengarahkan pegawainya melakukan pemeriksaan itu secara rawak di lapangan terbang," katanya selepas membuat lawatan kerja ke ibu pejabat polis Sabah di Kepayan, Isnin. Kata beliau, Sabah dan Sarawak memiliki syarat imigresen bagi penggunaan kad pengenalan yang keluar dan masuk ke negeri berkenaan. Ahmad Zahid. Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen bukan sahaja terlibat dalam penangkapan pemegang kad pengenalan palsu, tetapi juga menyiasat sindiket yang beroperasi di Sabah. "Kita juga akan melakukan pemeriksaan di negeri lain. "Tiada satu hari pun berlalu tanpa operasi dan penguatkuasaan," katanya sambil menambah bahawa terdapat langkah-langkah yang diambil bagi memastikan MyKad palsu tidak melepasi sistem. Beliau turut berkata, sindiket itu juga menyasarkan Sabah kerana terdapat ramai warga asing yang datang ke negeri itu untuk mencari pekerjaan.