KUALA LUMPUR: Trend 'busking' atau persembahan pemuzik jalanan bukanlah sesuatu yang asing di negara ini. Malah, kumpulan ini mempunyai pengikut tersendiri khususnya dalam kalangan anak muda. Sekiranya anda anggota kumpulan pemuzik jalanan ini, apa kata muat naik video persembahan nyanyian di mana-mana lokasi terbuka ke laman Facebook. Video yang mendapat tanda suka paling tinggi berpeluang dipilih sebagai juara bulanan dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000. Tentu sekali ia sesuatu yang menarik kan?. Namun, ada syaratnya. Lagu yang dipersembahkan mestilah diambil dari mana-mana puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sekurang-kurangnya pendekatan dalam berhibur ini membolehkan kita menyelami keindahan puisi-puisi Melayu yang semakin dilupakan. Segalannya dirangka sempena pertandingan yang dinamakan sebagai Ekspresi Muzik Jalanan (EJM) 2018, di mana tujuh pemenang bulanan akan dipilih bermula Mac sehingga September ini berdasarkan populariti video yang dihasilkan dan dimuat naik menerusi Facebook. Seterusnya, kesemua pemenang akan digabungkan menerusi satu pentas pada Oktober ini bagi merebut hadiah utama sebanyak RM3,000. Perlu diingat syarat utama adalah mendapat tanda suka paling banyak dan tentunya jika nyanyian dan persembahan tidak bagus bukan masalah, malahan masih berpeluang merebut gelaran juara bulanan kerana keputusan diadili 100 peratus oleh warga Facebook. Khidmat juri profesional hanya akan digunakan ketika pertandingan akhir sempena Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober ini. Dalam pada itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adziz Abas berkata, pihaknya memperkenalkan EJM 2018 bagi menarik minat golongan muda untuk mendalami puisi Melayu menerusi platform yang lebih dekat dengan mereka. "Aktiviti busking semua orang suka terutamanya golongan muda. Maka timbulnya idea untuk menggunakan platform ini bagi memperkenalkan puisi-puisi lama kepada mereka. "Jadi tidaklah mereka sekadar menyanyi sahaja. Sambil menyanyi mereka juga akan mendalami puisi-puisi lama dan diharapkan ia juga dapat memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya kepada mStar Online. Selain EJM 2018, DBP turut mengumumkan Festival Filem Pendek Nusantara 2018 (FFPN 2018) juga akan diadakan pada Oktober ini. Sebanyak 17 anugerah utama bakal menjadi rebutan dengan nilai hadiah wang tunai, barangan serta trofi mencecah RM100,000. EMJ 2018 dan FFPN 2018 dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM), Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC), Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Malaysia dan Persatuan Pengkarya Muda Malaysia.