suria

“Tunggu Saya Buat Spot Check”

Gambar Abu Bakar duduk dekat jalan berlubang sambil berdoa, tular di media sosial.

PETALING JAYA: Dengan hanya berkemeja-T berkolar, berseluar jeans dan hanya berselipar, seorang wakil rakyat berjawatan timbalan menteri bertindak duduk umpama ‘bertapa’ di tengah jalan.

Tanpa mempedulikan kehadiran kenderaan yang melalui Jalan Bukit Berlian, Melaka itu, gambar beliau menadah tangan dan berdoa di laluan itu telah dirakamkan.

“Saya berdoa pagi ini. Adalah Datuk Bandar ke? Pegawai daerah ke? Ahli majlis ke? Datang melihat lubang di Jalan Bukit Berlian yang makin membesar... menggunakan kuasa mutlak yang ada untuk menampal jalan ini, sebelum ada warga Tangga Batu yang patah kaki atau tercedera.

“Ya Allah, makbulkan permohonan hamba Mu ini. Amin,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dalam posting di laman sosial Facebooknya pada Isnin.

Hanya selepas beberapa jam gambar tersebut di muat naik di laman sosial Ahli Parlimen Tangga Batu itu, lubang tersebut telah ditampal pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Selasa.

Posting pertama Abu Bakar mengenai masalah Jalan Bukit Berlian di laman sosial pada minggu lalu.

Bercakap kepada mStar Online, Abu Bakar berkata, beliau dimaklumkan bahawa jalan tersebut yang mempunyai banyak masalah lubang akan diturapkan sepenuhnya pada Khamis ini.

“Terima kasih banyak kepada PBT sebab turapkan jalan. Jalan ini dijadikan jalan pintas oleh kebanyakan penduduk setempat.

“Lubang mana pula nak kena duduk dan berdoa hari ini? Nantikan saja kemunculan saya di mana-mana di kawasan saya. Nantikan,” katanya pada Selasa.

Abu Bakar menjelaskan bahawa cara tersebut telah lama digunakan bagi memberi ‘peringatan’ kepada PBT supaya segera membaiki jalan-jalan yang bermasalah.

Menjadikan contoh masalah lubang di Jalan Bukit Berlian, katanya, ia telah disedarinya sejak sebulan lalu, tetapi selepas memuat naik gambar beliau duduk di atas jalan berkenaan di laman sosial pada minggu lalu, masih tiada tindakan lanjut daripada PBT.

“Sebab itu, saya datang lagi ke jalan ini dan berdoa sambil mengharapkan ada pihak berkenaan untuk segera membaiki jalan ini,” katanya mengenai jalan tersebut di jalan pintas antara Bukit Rambai dan Sungai Udang.

Abu Bakar menunjukkan isyarat bagus selepas lubang jalan telah ditampal, dan akan diturapkan sepenuhnya.

Abu Bakar menambah, setiap masalah perlu ada tindakan segera bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. 

“Cara saya ini bukanlah protes, tapi lebih kepada pendekatan bergurau dan mesra. Mungkin saya akan digeruni, tapi kalau dapat bantu saya dan semua pihak lebih rajin menjaga kepentingan rakyat, kenapa tidak?

“Jangan ingat saya hanya cari jalan berlubang saja. Banyak lagi masalah dan perkara lain yang perlu dilihat dan diselesaikan. Tunggu saya buat ‘spot check’!,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain