IPOH: Seorang pereka grafik dipenjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik gambar aib pemimpin negara bertujuan menyakitkan hati orang lain, dalam akaun Facebooknya dua tahun lepas. Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu terhadap Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Bagaimanapun mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi. Sehubungan itu, Norashima membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Mohd Fahmi Reza didakwa menggunakan akaun Facebook 'Fahmi Reza' di suatu pautan secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 8 Februari 2016. Pautan itu kemudian didakwa telah dibaca di sebuah alamat di Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang, di sini, pada 2.40 petang, tarikh yang sama. Mohd Fahmi Reza didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria dan Nazrul Nizam Zameri, manakala tertuduh diwakili peguam Syahredzan Johan. Terdahulu, Syahredzuan merayu agar mahkamah mengenakan denda RM10,000 berdasarkan faktor mitigasi antaranya kesalahan tersebut adalah pertama kali dilakukan tertuduh, kesalahan itu tidak serius dan tiada mudarat berpanjangan kepada mana-mana pihak. Mohd Sophian pula berkata mahkamah tidak boleh bersimpati dengan tertuduh kerana sebelum melakukan perbuatan itu dia sedar akan kesan yang dilakukannya dan tugas mahkamah adalah untuk menjatuhkan hukuman yang tegas bagi membendung kejadian itu. "Kerajaan mengambil berat isu berkaitan dengan penyebaran berita palsu dan tugas mahkamah adalah untuk menjatuhkan hukuman selaras dengan dasar kerajaan. "Justeru itu, mahkamah diberi amanah oleh Parlimen untuk menjatuhkan satu hukuman yang tegas untuk mendidik masyarakat," katanya. Pada 2016, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Sesyen Ipoh. Mahkamah Sesyen Ipoh pada 4 Jan lalu, memerintahkan pereka grafik itu membela diri di atas pertuduhan tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir pendakwaan.-- Bernama