suria

“Ah! Cikgu Memang Begitu, Walau Pernah Kecewa, Dia Buat Juga”

Gambar hiasan. Foto Bernama

PETALING JAYA: Media sosial saban hari 'mendengar' keluhan segelintir ibu bapa terhadap pelbagai bayaran yang dikenakan untuk anak mereka yang masih bersekolah.

Persoalannya, jika ada perkhidmatan yang disediakan percuma buat anak-anak mereka, adakah ia dihargai atau peluang itu digunakan sebaik mungkin?

“Alasan murid, mak ayah tak boleh hantar. Ayah tidur, penat. Murid sendiri tertidur dan mak ayah tak kejut. Alasan pergi kenduri, balik kampung.

“Segala bahan dan nota aku sediakan. Fotostat guna duit poket sendiri. Berjaga malam, memerah otak untuk buat nota dan latihan yang sesuai dengan aras mereka.

“Tapi sambutan, kadang-kadang tak sampai 50 peratus yang hadir. Kecewa betul,” keluh seorang guru mengenai kelas tambahan yang ditawarkan secara percuma untuk murid-murid, yang dikongsi oleh guru lain, Mohd Fadli Salleh di laman Facebook.

Posting Mohd Fadli Salleh di Facebook.

Mohd Fadli berkata, guru berkenaan meluahkan rasa kesalnya kepadanya apabila surat makluman mengenai kelas tambahan telah diserahkan kepada ibu bapa dan mereka memberi respons berhubung perkara tersebut.

Tambah Mohd Fadli, seorang guru yang lain pula berkata, mungkin kerana ia percuma maka kelas itu dipinggirkan, berbanding kelas tambahan berbayar yang mungkin akan menyebabkan ibu bapa berfikir panjang untuk membiarkan anak-anak mereka ponteng kerana yurannya yang mahal.

Menurut guru yang mengeluh itu, dia faham jiwa dan pemikiran murid yang masih muda, tetapi kesal dengan sikap ibu bapa mereka yang ‘besar panjang dan matang’.

“Lepas pada ni aku tak nak dah buat kelas percuma. Malas dah aku nak lebih-lebih sedangkan budak dan mak ayah tak hargai pun," kata guru berkenaan lagi, seperti yang diceritakan Mohd Fadli dalam postingnya.

Usaha guru yang ikhlas yang menyediakan kelas tambahan secara percuma.

Bagaimanapun Mohd Fadli berkata, keluhan guru ini dibuat beberapa tahun lalu tetapi sehingga kini dia masih membuat kelas tambahan percuma.

Walau kehadiran tidak 100 peratus dan meskipun pernah kecewa dan terluka kerana tidak dihargai atas dedikasinya, guru tersebut tetap meneruskan inisiatif itu.

“Ah! Guru begitulah biasanya. Mulut saja kata tak nak peduli kat murid dah, esok-esok dia yang paling risau. Mulut kata malas buat, tapi tindakan sebaliknya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Fadli menasihati ibu bapa supaya menyokong dan menghargai guru-guru yang berdedikasi menyediakan kelas tambahan secara percuma.

“Jika mereka buat kelas tambahan, paksa anak-anak pergi. Bagi cikgu tu seronok mengajar dengan kehadiran murid yang ramai.

“Sokonglah usaha guru-guru anak kalian dalam setiap program mereka. Apa yang mereka buat, laksanakan itu untuk kebaikan anak-anak kalian juga,” katanya.

Artikel Lain