suria

“Rasa Nak Pakai Topeng...” – Gadis ‘Manja Lapar’

Nija kini lebih dikenali sebagai 'Awek Cendol atau 'Kakak Cendol'.

PETALING JAYA: Penangan tular video seorang gadis yang dalam kepanasan dan kelaparan dengan aksi manja mahukan cendol semakin meraih perhatian.

Bagaikan menjadi ikutan, banyak parodi meniru aksi ‘manja lapar’ gadis itu muncul, malah selebriti tempatan turut tidak terkecuali melakukannya sebagai gurauan.

Gadis tersebut, Nur Anizah Tahang, 20, berkata, dia langsung tidak berkecil hati dengan video rengekan manja yang dibuat netizen termasuk selebriti.

Bagaimanapun, anak kelahiran Kajang yang lebih dikenali sebagai Nija itu mengakui dia semakin menjadi tumpuan apabila berada di luar rumah selepas videonya tular.

“Ada yang panggil saya ‘Awek Cendol’ lah, ‘Kak Cendol’ lah. Malah ada yang cuba meniru aksi video dengan dialog yang sama di hadapan saya.

“Ikutkan hati, rasa nak pakai topeng saja bila keluar. Pergi mana-mana ada saja yang memerhati, tak kiralah lelaki atau perempuan,” katanya kepada mStar Online.

 

mStar Online sebelum ini melaporkan Nija sebenarnya dikenali berperwatakan manja dalam kalangan keluarga dan teman-teman rapat termasuk teman lelaki, Muhd Aiman Amar Maiyuddin, 20.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sebenarnya...” - Pengakuan Gadis ‘Manja Lapar’

Namun anak sulung daripada dua beradik ini berkata, dia tidak berasa malu dengan keadaan itu tetapi menegaskan dirinya masih seperti dulu.

“Kalau orang kata saya semakin sombong, berlagak, itu hanya tanggapan mereka. Ada yang faham dan ada yang tidak faham mengenai penjelasan saya sebelum ini. 

“Saya hanya jadi diri sendiri. Kalau ada yang tegur dengan nama-nama ‘cendol’, saya hanya senyum. Kalau ada yang nak bergambar bersama, saya layankan saja,” katanya.

Selasa lalu, Nija bergandingan dengan pelawak, Bell Ngasri dan Syuk, dalam segmen parodi bertajuk ‘Awek Cendol’ untuk program Meletop terbitan Astro. 

Menurut Nija, dia menerima jemputan daripada pihak produksi sebagai pelakon tambahan dalam parodi mengenai kisah tular dirinya sendiri.

“Tapi saya bukanlah artis. Bezanya sekarang, saya mungkin lebih dikenali, dan yang lebih penting rezeki semakin bertambah, Alhamdulillah,” katanya sambil menambah sedang mempertimbangkan tawaran sebagai duta produk kecantikan daripada empat syarikat setakat ini.

Malah Nija tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menjadi pelakon tetapi ia perlu dipertimbangkan dan mendapat persetujuan keluarga.

Ditanya sekiranya tawaran lakonan untuk watak manja, Nija berkata: “Manja tu adalah diri saya sendiri, takkan nak berlakon watak manja. Nanti macam sengaja dibuat-dibuat pula.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Namewee Direman Empat Hari

Artikel Lain