TOKYO: Sebuah pesawat AirAsia terpaksa melakukan pendaratan kecemasan pada Isnin di Lapangan Terbang Naha, Okinawa berikutan masalah enjin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Pengangkutan Jepun. Bagaimanapun, tidak seorang pun daripada sejumlah 379 penumpang dan anak kapal yang menaiki penerbangan AirAsia X itu cedera dalam pendaratan kecemasan oleh pesawat milik syarikat tambang murah Malaysia. Kementerian itu berkata enjin kanan pesawat tersebut dikesan mengalami masalah pada pukul 2.15 pagi waktu tempatan, yang memaksa kapten pesawat itu mematikannya dan membuat keputusan untuk melakukan pendaratan kecemasan. Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Naha pada pukul 3 pagi waktu tempatan. Sebelum itu, ia berlepas dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo dan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.- Bernama