PETALING JAYA: Selebriti dan usahawan Neelofa kekal sebagai ikon bagi Tahun Memperkasakan Wanita 2018 (TMW18). Malahan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan turut menafikan terdapatnya Anugerah Ikon Wanita Negara sebagaimana tular di blog baru-baru ini, dengan mendakwa Neelofa digugurkan sebagai ikon. “Pihak kementerian melihat segala sumbangan dan kejayaan yang telah diraih Neelofa sebelum ini dan percaya ia dapat memberi insipirasi kepada wanita untuk terus bergerak lebih jauh dan berdaya saing bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0. “Kementerian melihat dari sudut yang positif apa yang akan disumbangkan oleh beliau untuk memperkasakan wanita,” menurut kenyataan itu pada Isnin malam. Baru-baru ini, sebuah blog melaporkan Neelofa bakal digugurkan dalam senarai Ikon Wanita Negara berikutan majlis pelancaran koleksi tudung terbaharunya di sebuah kelab malam terkemuka di ibu negara yang mencetuskan kontroversi. Menurut kenyataan itu, perbincangan antara pihak kementerian dan Neelofa dibuat sebelum beliau diumumkan sebagai Ikon TMW18. “Kedua-dua pihak bersetuju untuk memberikan yang terbaik kepada wanita bagi memastikan setiap agenda dan program yang dirancang akan dapat dilaksanakan untuk terus memajukan wanita sempena TMW18,” katanya. Pada 17 Januari lalu, Neelofa dilantik menjadi ikon TMW18, selain Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Vivy Yusof. Pemilihan tiga ikon ini dipilih sebagai penggerak dan pemaju TMW18 berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing.