suria

Penceramah Popular Dedah Siapa Pakcik Dituduh Meraba

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas yang didakwa meraba seorang penumpang wanita di dalam transit aliran ringan (LRT) baru-baru ini disifatkan sebagai berbudi pekerti dan aktif berdakwah.

Kisah tular yang mendapat kecaman netizen itu menarik perhatian seorang penceramah popular, Ebit Irawan Ibrahim Lew yang mengaku mengenali lelaki berkenaan secara rapat.

“Ya Allah sedih betul, baru tahu pasal pakcik difitnah dalam tren. Kali ni memang silap siapa viralkan ini. 

“Pakcik tu saya sangat kenal rapat dari umur 12 tahun sejak mula-mula dekat dengan dakwah dan belajar benar-benar kenal Allah,” katanya yang juga pakar motivasi dalam satu posting di laman Facebooknya.

Dakwaan yang mencetuskan kemarahan netizen.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, beliau mendedahkan lelaki itu telah bersara dari jawatan besar dan kini menghabiskan sisa hidupnya dengan berkhidmat di masjid dan berdakwah.

Warga emas itu dipuji sebagai bukan calang-calang orang, kerana sejak muda semasa belajar di universiti aktif berdakwah sehingga dalam keadaan uzur.

Malah Ustaz Ebit Lew turut mengenali kesemua anak lelakinya dan pernah menceritakan tentang kisah kehidupan keluarga lelaki berkenaan dalam ceramahnya.

“Semua anaknya daie. Pelajar cemerlang universiti dan daie besar. Sifat anaknya macam ayahnya. Saya selalu cerita kisah hidup keluarganya dalam ceramah saya.

“Keluarga mereka bahagia. Semua anaknya suka berkhidmat membasuh tandas masjid,” katanya.

Seorang lelaki warga emas didakwa meraba paha seorang penumpang wanita.

Pada Ahad, mStar Online melaporkan seorang pemuda yang mendakwa dirinya turut berada di tempat kejadian tampil menafikan bahawa lelaki warga emas itu meraba penumpang wanita di sebelahnya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik Tu Tak Raba, Saya Tak Dibayar!

Menurut Karl Jeffrey Ramesh, 24, warga emas itu sekadar menarik perlahan-lahan kain jubahnya yang tertindih di bawah paha penumpang yang duduk di sebelahnya.

Ustaz Ebit Lew bersyukur dengan pendedahan Ramesh kerana menceritakan hal yang sebenar dan menjelaskan video yang tular sebagai fitnah.

“Orang tu ada keluarga, malukan macam tu. Orang yang ambil video pun dah hilang, tak muncul-muncul, nampak sangat. Cuma banyak page bukan-bukan sampai tiga juta view dan caption menghina dan aibkan pakcik tu.

“Pakcik tu tak nak kejut perempuan tu tidur. Jubah dia tertindih oleh perempuan tu yang tidur tersengguk-sengguk. Dia resah, yelah berjaga-jaga. Dia dah uzur, jalan pun selalu tunduk sepanjang hidupnya. Biasalah... orang tua gerak jari tangan perlahan-lahan kadang-kadang kebas,” katanya.

Ustaz Ebit bersama Ramesh menerusi penstriman video secara langsung di Facebooknya pada malam Ahad.

Sehubungan itu, Ustaz Ebit Lew menasihatkan semua pihak supaya menghentikan fitnah kecaman dan tohmah terhadap lelaki warga emas itu, terutama mereka yang menyebarkan video tersebut.

“Ya Allah siapalah tergamak buat khianat macam ni, saya nak jumpa. Siapalah yang buat begini, semoga Allah beri hidayah padanya.

“Siapa terlibat fitnah pakcik baik cepat minta maaf dan bertaubat. Dosa fitnah ini lebih besar dari membunuh. Janganlah sakiti atau fitnah orang tak buat salah. Aibkan macam tu..orang baik dan tak salah pula,” katanya.

Artikel Lain