suria

Pokok Tumbang Depan KLCC Berusia Lebih 130 Tahun

Kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang di Jalan Ampang berdekatan berhampiran KLCC giat dilakukan oleh DBKL. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pokok besar yang tumbang di Jalan Ampang, hadapan KLCC sehingga mencederakan sepasang suami isteri, telah berusia lebih 130 tahun.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Fadzillah Abd Rashid, berkata, ia merupakan dari spesies Hutan-Hujan yang mempunyai ukur lilit 4.65 meter yang juga merupakan antara tanaman terawal dalam sejarah penanam landskap di Jalan Ampang.

Menurutnya, semua pokok-pokok di Jalan Ampang di selenggara mengikut jadual sebanyak dua kali setahun.

"Pada tahun 2017, kerja-kerja selenggaraan pokok-pokok dijalankan pada 1 hingga 30 April 2017, dan 11 hingga 27 Disember 2017. Kerja kerja yang terlibat pada selenggaraan terakhir adalah penebangan 3 batang pokok, 70 cantasan dan kerja-kerja 'crown reduction' ke atas 19 pokok-pokok.

"Secara fizikal pokok yang tumbang tersebut berada di dalam keadaan yang baik. Berdasarkan pemerhatian di tapak selepas kejadian tersebut didapati pokok tersebut mengalami pereputan pada bahagian akarnya yang tidak dapat dilihat secara fizikal dan keadaan ini aalah di luar jangkaan.

"Pereputan akar pokok ini memberi kesan kepada pertumbuhan akar pokok yang menyebabkan pokok tidak stabil dan mudah tumbang," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, susulan kejadian itu, DBKL sudah mengambil tindakan penambahbaikan dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di mana pihak kontraktor wajib melantik 'Arborist' untuk membuat pemeriksaan pokok secara fizikal.

"Hasil daripada laporon 'Arborist' tersebut, pihak DBKL akan dapat mengenal pasti lokasi pokok yang berisko untuk diambil tindakan.

"DBKL juga sedang merangka Pelan Pengurusan Pokok Berisiko dengan memberi keutamaan di kawasan tepian jalan. Melalui laporan tersebut 'Arborist' akan diantik untuk membuat pemeriksaan secara terperinci.

"Hasil daripada pemeriksaan ini, 'Arborist' perlu mengemukakan cadangan cadangan pengurusan pokok yang perlu dlaksanakan sama ada dikekal, ditebang dengan membuat penggantian atau ditebang tanpa penggantian," katanya. - Sinar Online

Artikel Berikut

Artikel Lain