suria

Pengantin Tanggung Rugi, Pemilik Katering Lesap Bersama RM14,500

Faizal mendakwa dia terpaksa mencari syarikat katering lain sebagai pengganti agar majlis perkahwinannya berjalan lancar.

PETALING JAYA: Selepas kisah sepasang pengantin baharu tular di media sosial kerana berdepan detik memalukan gara-gara perbuatan tidak bertanggungjawab pemilik katering menggunakan bekas plastik, kini tampil seorang lagi mangsa yang mengakui diperdaya individu sama.

Sebaik posting mengenai kejadian yang menimpa Nur Hazimah Abd Rani dan pasangannya tular di Twitter, Faizal (bukan nama sebenar) menjadi tidak tentu arah kerana bayaran penuh telah dibuat kepada pemilik katering terbabit.

Pemuda yang berasal dari Klang, Selangor itu 'bernasib baik' kerana mengetahui tentang taktik licik pengusaha katering tersebut sebelum majlisnya berlangsung dan sempat mencari pengganti untuk menyediakan hidangan buat tetamu pada tarikh yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin Tahan Malu Lauk Dihidang Dalam Bekas Plastik, Kek Macam Nak Roboh!

"Bukan sedikit duit saya dah bayar, RM14,500 tu ibarat habis macam tu sahaja dan saya terpaksa bayar lagi RM18,000 kepada katering lain kerana khuatir dia 'buat hal' pada majlis pernikahan dan persandingan saya.

"Mujurlah majlis saya dapat 'diselamatkan'. Kalau nak harapkan dia, mungkin tetamu saya tak makan lauk kenduri sebab dia hilangkan diri begitu sahaja," katanya kepada mStar Online.

Faizal membuat laporan polis terhadap pemilik katering tersebut di Balai Polis Kepong pada 23 Februari lalu.

Difahamkan, majlis perkahwinan Faizal berlangsung pada Sabtu lalu dan pihaknya berasa terkilan apabila keluarga pemilik katering berkenaan enggan memberikan kerjasama ketika ditanya mengenai inividu terlibat.

Dakwa Faizal, dia mula berasa curiga dengan sikap pemilik katering tersebut apabila lelaki yang disifatkannya berperwatakan warak itu hanya menghubunginya untuk mendapatkan bayaran.

"Bila dia nak duit je dia cari saya, kalau tidak dia hanya diamkan diri, padahal majlis semakin hampir.

"Masa minta bayaran pun dia macam tergesa-gesa dan mangsa lain mendakwa dia kerap berikan alasan tidak dapat menjawab panggilan kerana berada di masjid," jelas Faizal.

Abd Razak.

Sementara itu, aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (Epanco), Abd Razak Hasan berkata, pihaknya sudah mengumpulkan sebanyak 10 pasangan yang mendakwa turut diperdayakan oleh individu tersebut.

"Mulanya pemilik katering itu yang menghubungi saya dan mendakwa ada pihak nak 'cantas' perniagaan dia.

"Saya ni ibarat orang tengah jugalah. Tapi lama-kelamaan saya dapat tahu bahawa dia yang menipu orang," katanya.

Kata beliau, Epanco membantu dan mengumpul mangsa-mangsa yang terpedaya oleh pemilik katering berkenaan untuk memberi panduan tentang langkah yang perlu diambil bagi mengenakan tindakan sewajarnya ke atasnya.

Dakwa Abd Razak, lelaki tersebut dipercayai menghilangkan diri selepas posting dan gambarnya tular di Twitter biarpun pihak mahkamah sudah mengeluarkan perintah perbicaraan diadakan pada 20 Mac ini.

katering, majlis kahwin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain