KAMPAR: Kejujuran seorang pengutip barangan lusuh dipuji apabila menyerahkan sebuah beg yang mengandungi wang tunai lebih kurang RM4,000 berserta dokumen pengenalan diri kepada pihak polis dalam satu kejadian petang Rabu. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, dalam kejadian itu, Cheah Keng Keong, 48, dalam perjalanan ke stesen minyak di Bandar Baru Kampar sebelum terlihat beberapa keping duit bertaburan di tepi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa. Katanya, lelaki itu kemudian berhenti dan ternampak satu beg silang yang mengandungi wang dan dokumen pengenalan diri yang dipercayai pemilik beg tersebut. “Lelaki itu kemudiannya menyerahkan beg itu kepada pihak polis untuk dipulangkan kepada pemilik asal beg tersebut. “Kami telah menghubungi pemilik beg tersebut dan telah mengembalikan beg tersebut bersama-sama wang tunai berjumlah lebih kurang RM4,000 pada hari yang sama,” katanya. Kong Soon berkata, kejujuran ditunjukkan oleh Keng Keong dipuji dan Polis Kampar bercadang mahu memberikan surat penghargaan atas tindakannya itu. Dalam pada itu, Keng Keong berkata, dia tidak mempunyai hak ke atas wang yang dijumpainya walaupun dia tinggal dalam serba kekurangan. “Saya bimbang duit itu mungkin untuk kegunaan kecemasan oleh pemilik asal atau sebagainya,” katanya. -Sinar Harian