KUALA KRAI: Berang tidak dapat mengeluarkan wang dari mesin juruwang Automatik (ATM), seorang lelaki bertindak merosakkan mesin serta membuang air besar di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail Petra, Jumaat. Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, lelaki berusia 40 tahun itu juga menarik wayar serta memecahkan siling ATM dan menarik wayar kamera litar tertutup ( CCTV). "Hasil siasatan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah ke bank berkenaan mengeluarkan wang kira-kira jam 6.30 pagi ini. "Setelah gagal mengeluarkan wang dari mesin ATM, suspek mengamuk dan buang air besar di belakang mesin ATM," katanya. Abdullah berkata, suspek berasal dari Pahang menaiki keretapi dari Tumpat untuk balik ke tempat asalnya pukul 4 petang Khamis. "Sebaik tiba di Kuala Krai, suspek turun untuk menukar kereta api, bagaimanapun disebabkan tidak cukup wang membeli tiket, bapa kepada tiga anak itu tidak dapat meneruskan perjalanan. "Suspek kemudiannya merayau di sekitar deretan kedai sambil meminta wang daripda orang ramai," katanya. Beliau berkata, setelah gagal meraih simpati orang ramai, suspek ke bank untuk mengeluarkan wang. "Hasil siasatan turut mendapati suspek yang juga lulusan institusi pengajian tinggi tempatan itu turut mengambil beberapa jenis dadah serta menghadapi masalah mental. "Suspek yang pernah mengikuti latihan asas di Pulapah diberhentikan pada tahun 2000," katanya. Berikutan kejadian suspek berjaya ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, 427 Kanun Keseksaan. - Sinar Online