suria

Import Rock Melon Australia Disekat - Shabery

CYBERJAYA: Australia menghentikan eksport rock melon ke negara ini ekoran laporan berlakunya kematian di Sydney akibat memakan buah itu yang dicemari bakteria Listeria monocytogenes, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata Malaysia pada masa yang sama juga mengambil tindakan menghentikan import rock melon dari Australia kerana bimbang berlaku kontaminasi dari negara tersebut.

"Kemasukan rock melon dari Australia akan disekat hingga keadaan menjadi lebih baik," katanya mengulas laporan mengenai kematian di Australia akibat memakan rock melon, ketika ditemui media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 kementeriannya di sini, Jumaat.

Ahmad Shabery berkata sebelum insiden kematian tersebut, Malaysia ada mengimport rock melon dari Australia.

"Rock melon tempatan pun banyak dan ia selamat untuk dimakan selain tidak ada isu," katanya.

Laporan media menyebut sehingga kini empat orang meninggal dunia sementara ramai lagi berhadapan masalah kesihatan di Australia  kerana memakan rock melon tercemar.

Bakteria Listeriosis boleh menyebabkan demam, sakit otot, loya dan kadang kala cirit-birit dan membawa kematian.

Mengulas mengenai pemergian Tan Sri Sanusi Junid hari ini, Ahmad Shabery menyifatkan Allahyarham sebagai bekas menteri pertanian yang akan dikenang kerana banyak menyumbang idea-idea kreatif.

Allahyarham sebelum ini pernah menjadi menteri pembangunan negara dan luar bandar pada 1981 dan kemudian menjadi menteri pertanian pada 1986. Allahyarham Sanusi meninggal dunia pada 6 pagi ini.  -- Bernama

Rock Melon, Australia, Shabery

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain