suria

Johari Calon Terbaik BN Ganti Azmin

(kiri) Johari Abdul Ghani dan (kanan) Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

SHAH ALAM: Hasrat BN untuk menawan semula Selangor pada PRU-14 mungkin tercapai sekiranya Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dicalonkan sebagai menteri besar.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, peluang parti keramat Melayu itu dilihat lebih cerah jika ura-ura meletakkan Johari yang juga Menteri Kewangan II bertanding di kerusi Dun, seterusnya menjadi orang nombor satu di Selangor.

Katanya, jika tidak, apa yang mungkin berlaku adalah Pakatan Harapan (Harapan) dan BN akan mencapai kerusi hampir setara menyebabkan Pas berperanan menjadi penentu.

"Untuk menyatakan BN akan menang adalah sesuatu yang pra-matang kerana BN secara sendirian sukar mencapai jumlah kerusi yang mencukupi untuk memerintah.

“Tambah lagi, BN Selangor sering dilanda masalah dalaman dan tiada tokoh benar-benar berwibawa ditonjolkan untuk menjadi menteri besarnya. Namun jika kedudukan Johari dipertimbangkan,  peluang Umno dilihat semakin tinggi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan kepada BN Selangor untuk memberi fokus kepada misi menawan semula Selangor pada PRU-14.

Najib menegaskan BN tidak mahu tewas kepada pembangkang untuk kali ketiga.

Kamarul Zaman berkata, prestasi pentadbiran yang baik belum tentu dapat menjamin Harapan mencapai kemenangan di Selangor dalam PRU-14 kerana politik sebenar di akar umbi adalah lebih penting.

Bagaimanapun menurutnya, jika parti-parti komponen Harapan di Selangor dapat merapatkan kembali hubungan antara satu sama lain dan Bersatu serta Amanah dapat menambat hati pengundi Melayu dalam tempoh kempen, peluang Harapan pasti lebih cerah.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, kemungkinan untuk Harapan tumbang di Selangor tidak boleh ditolak terus kerana banyak undi Melayu akan lari dari Harapan bila Pas tiada di dalamnya.

Katanya, di kawasan majoriti Melayu dan kawasan campuran, kedudukan PKR sendiri tidak begitu selamat kerana Bersatu dan Amanah tidak mampu menampung undi Pas.

“Ini dibantu pula oleh perpindahan sebahagian pengundi bukan Melayu kepada BN seperti dapat dilihat dalam PRK Sungai Besar pada tahun 2016.

“Sebab itulah sebahagian pemimpin PKR masih mengharapkan satu kerjasama politik dapat dijalinkan antara parti itu dan Pas bagi menjamin kemenangan calon-calon mereka," katanya. - Sinar Online

Johari Abdul Ghani

Artikel Sebelum

Artikel Lain