suria

Sah! Zairil-Dyana Bertunang

Zairil dan Dyana bertunang pada Sabtu.

PETALING JAYA: Khabar angin mengenai majlis pertunangan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dengan bekas calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud yang tular akhirnya terjawab. 

Perkara itu disahkan sendiri oleh Zairil menerusi posting di halaman Facebooknya pada pagi Sabtu.

“Hari ini, saya amat berbesar hati bersama-sama keluarga dan teman-teman rapat untuk meraikan pertunangan saya dengan Dyana Sofya di Ipoh.

“Ini adalah majlis yang paling istimewa dan saya gembira mendapat sokongan daripada mereka yang paling saya sayangi,” katanya.

Dyana (tengah) pada majlis pertunangan pada Sabtu. Foto instagram Dyana, @dyanasmd

Zairil yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, ia merupakan lembaran baharu selepas perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan perceraian pada tahun lalu.

“Dalam kehidupan ini, kita perlu melangkah ke hadapan.

“Saya benar-benar gembira dapat menemui Dyana… seorang yang saya tahu akan menjadikan pasangan hidup yang serasi,” katanya sambil menambah bahawa Dyana turut disenangi ahli keluarganya, terutama dua anaknya.

Tanda pagar (hashtag) #zairilxdyana

Terdahulu, berita pertunangan Zairil dan Dyana tular di laman Facebook apabila seorang individu mengucapkan tahniah kepada pasangan itu yang didakwa akan bertunang.

Pada Oktober 2014, kedua-dua pasangan itu terpalit dengan kontroversi selepas beberapa keping gambar intim mereka tersebar di laman sosial namun dinafikan pasangan terbabit.

Pasangan itu sekali lagi menjadi perhatian pada April tahun lalu selepas video individu yang didakwa mereka menari mesra turut tular di laman sosial.

Zairil sebelum ini berkahwin dengan Noor Dahlia Hamzah namun menurut maklumat yang turut tular di media sosial, mereka sudah bercerai pada Oktober tahun lalu namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Dyana Sofya, Zairil Khir Johari

Artikel Lain