KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan lima penuntut Malaysia yang sedang belajar di National University of Ireland di Galway terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Jumaat (9 Mac) lepas ketika sedang menuju ke Galway dari sebuah pekan kecil iaitu di Letterkenney. Kementerian itu menerusi kenyataan berkata kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan pada 6 petang waktu tempatan itu dikejarkan ke Mayo General Hospital di Castlebar untuk menerima rawatan. "Tiga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan pulang, manakala dua lagi masih dirawat," katanya. Bagaimanapun kedua-dua mangsa tersebut dilaporkan stabil. Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar melalui kedutaan besarnya di Dublin, Ireland akan terus memantau keadaan mangsa serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya. - Bernama