suria

Jangan Terpedaya Tawaran Skim Kerja Luar Negara - Wisma Putra

PETALING JAYA: Kementerian Luar mengingatkan rakyat negara ini yang merancang perjalanan ke luar negara supaya mengemukakan permohonan visa yang bersesuaian dengan tujuan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada Selasa petang, kementerian itu turut menasihatkan supaya warga Malaysia yang ingin bekerja di luar negara menggunakan saluran dan prosedur yang ditetapkan oleh negara yang ingin dikunjungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana Winter Sonata, Rakyat Malaysia Bergelar Buruh Haram, Gelandangan

ARTIKEL BERKAITAN: Enam Kelompok Pati Malaysia Di Korea Selatan

"Dapatkan visa bekerja terlebih dahulu sebelum mengadakan perjalanan ke sesebuah negara asing.

"Jangan tertipu dengan skim-skim tertentu yang menjanjikan tawaran pekerjaan di luar negara sekiranya visa atau permit bekerja yang sah tidak diperoleh terlebih dahulu," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu mengulas laporan mengenai kira-kira 5,000 rakyat Malaysia yang berstatus pendatang asing tanpa izin (Pati) di Korea Selatan.

Terdahulu, mStar Online pada Selasa melaporkan secara eksklusif bahawa kira-kira 5,000 rakyat Malaysia telah ke negara tersebut sebagai pelancong, namun berubah daripada berstatus Pati atau buruh haram sebelum akhirnya bergelar gelandangan.

Perubahan status itu boleh berlaku bila-bila masa hanya dalam tempoh tiga bulan, selepas mereka masuk ke negara K-pop ini gara-gara teruja dengan tawaran iklan pekerjaan dengan gaji lumayan.

Namun, bukan semua keindahan seperti yang dipaparkan drama popular Korea, Winter Sonata itu menjadi realiti apabila ada antara mereka yang berdepan pelbagai keperitan hidup selepas membayar kos antara RM2,500 hingga RM4,500 kepada ejen.

Sehubungan itu, Kementerian Luar turut meminta orang awam mengemukakan secara terus sebarang persoalan kepada Perwakilan-Perwakilan Malaysia di negara berkenaan bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Maklumat tersebut boleh diperoleh melalui laman web www.kln.gov.my.

Artikel Lain