suria

Liwat Pelajar Tahfiz: “Dia Umpama Keluarga, Kami Terlalu Rapat”

Tinjauan mendapati maahad tahfiz beroperasi seperti biasa. Foto Sinar Online

KUANTAN: “Dia umpama keluarga...kami terlalu rapat dan dia juga dah jadikan tempat ini seperti rumahnya sendiri.” kata pemilik sebuah maahad tahfiz terletak Bukit Bay Route di sini, yang kecewa dengan kejadian menimpa pelajarnya yang dipercayai didera secara seksual termasuk diliwat oleh lelaki berusia 41 tahun, sejak Ogos lalu.

Menurutnya, suspek dikenali sejak tiga tahun lalu merupakan salah seorang penyumbang dan sukarelawan di maahad tahfiz tersebut serta dipercayai pegawai kepada seorang kerabat.

“Perkara itu terbongkar apabila salah seorang guru di sini ternampak suspek cuba masuk ke dalam selimut salah seorang mangsa yang sedang tidur di dalam asrama akhir Februari lalu.

“Selepas disoal siasat, baru pelajar yang terbabit mengaku mengenai kegiatan tidak bermoral suspek berkenaan.

“Seramai 21 pelajar lelaki berumur antara 10 hingga 17 tahun menjadi mangsa gangguan seksual manakala enam daripadanya pula didakwa diliwat, malah ada yang dipaksa melakukan perkara terkutuk itu melebihi 10 kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di maahad tahfiz tersebut di sini, Rabu.

Dalam pada itu, menurutnya, suspek  itu sudah lama dikenali dan mula rapat sejak tahun 2015 lagi.

“Di awal pengenalan dilihat seorang yang sangat baik lebih-lebih lagi selalu datang membantu bukan sahaja madrasah malah membabitkan pelajar dan ibu bapa.

“Kami semua sangat rapat dengannya hinggakan adakalanya dia membantu saya menjaga hal kebajikan pelajar dan ibu bapa juga ada yang mempercayainya dalam mendapatkan barangan keperluan anak-anak mereka.

“Saya memang tidak sangka dia sanggup buat anak-anak saya macam ini setelah diberikan kepercayaan kepadanya...dia sanggup rosakkan masa depan anak- anak saya.

“Jadi, kelmarin kami sudah memaklumkan kepada ibu bapa dan mengadakan pertemuan, hari ini (Rabu) juga bersama-sama pelajar terbabit untuk berbincang serta menyelesaikan masalah berkenaan.

Sementara itu, katanya, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya menahan suspek yang berusia 41 tahun itu di bandar ini sejurus laporan polis dibuat, Selasa.

Katanya, berdasarkan laporan dibuat mendakwa mangsa telah didera secara seksual dan diliwat di sekitar kawasan asrama serta kediaman suspek di sebuah taman perumahan yang berhampiran.

“Suspek kini direman bermula semalam sehingga 19 Mac depan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan,” katanya. - Sinar Online

liwat, pelajar tahfiz

Artikel Sebelum

Bubar Parlimen Akhir Mac?

Artikel Berikut

Artikel Lain