PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 mencatatkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih baik iaitu 4.90 berbanding 5.05 pada 2016, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin. "Secara keseluruhan, keputusan SPM 2017 menunjukkan peningkatan pencapaian calon,” katanya dalam sidang media mengumumkan analisis keputusan SPM 2017 di sini, Khamis. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik. Amin berkata keputusan SPM 2017 menunjukkan 48 daripada 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 23 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala prestasi dua mata pelajaran tidak berubah. Lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik menunjukkan peningkatan prestasi manakala Pendidikan Moral dan Sains mencatatkan penurunan. Katanya prestasi mata pelajaran BM menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.46 manakala Pendidikan Moral menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.11. Dalam bidang elektif sains dan matematik, tiga mata pelajaran iaitu Fizik, Kimia dan Sains Tambahan menunjukkan peningkatan, dengan mata pelajaran Sains Tambahan menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.36 manakala mata pelajaran Biologi pula menunjukkan penurunan tertinggi iaitu 0.12. Amin berkata kesemua mata pelajaran elektif agama menunjukkan peningkatan prestasi dalam SPM 2017 berbanding tahun 2016, yang mana mata pelajaran Tasawwur Islam mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 0.43. Dalam bidang elektif teknikal pula, mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.34 manakala mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam menunjukkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak 0.29. Pada tahun ini, katanya, pengumuman mengenai jumlah A yang diperoleh oleh calon yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas akan diumumkan oleh Pengarah Pendidikan negeri masing-masing. Seramai 443,883 calon menduduki peperiksaan SPM pada 2017, katanya. Dalam pada itu, Amin berkata pencapaian calon di bandar dan luar bandar dalam SPM 2017 turut memberangsangkan dengan calon bandar dan luar bandar masing-masing meningkat 0.14 kepada 4.75 dan 5.22. “Perbezaan pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar kekal 0.47 pada tahun 2017 sama seperti tahun 2016,” katanya. Menurut Amin, seramai 415,008 calon menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras untuk kali pertama pada 2017. Katanya daripada jumlah itu, 85.2 peratus calon layak dianugerahkan sijil iaitu 90.2 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) manakala selebihnya 9.8 peratus adalah calon selain sekolah KPM. Bagi calon berkeperluan khas, Amin berkata 621 atau 62.5 peratus daripada 994 calon layak dianugerahkan SPM, manakala seramai 54.9 peratus berjaya memperoleh sijil GCE O-Level untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris. Amin berkata pada tahun ini, Kementerian Pendidikan melaporkan keupayaan calon menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam peperiksaan berdasarkan kemahiran berfikir yang diperlukan untuk menjawab soalan. Beliau berkata secara keseluruhannya, 66 peratus calon SPM 2017 menguasai KBAT dengan baik. "Berdasarkan kualiti jawapan calon, 27 peratus calon menguasai KBAT pada tahap tinggi, 39 peratus pada tahap sederhana dan 34 peratus pada tahap rendah,” katanya. Menurutnya, calon menguasai kemahiran aplikasi pada tahap yang tinggi, namun kemahiran menganalisis, menilai dan mencipta masih pada tahap sederhana.-- Bernama