suria

Nak Isi Borang Kahwin Tapi Hanya Bertuala

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Datang ke rumah tunang untuk mengisi borang kahwin, itulah alasan diberikan seorang wanita selepas ditahan berkhalwat di rumah pasangannya di Dungun, Rabu lalu.

Ketika serbuan kira-kira pukul 12.30 petang, wanita berusia 23 tahun bersama pasangannya, 24, didapati berada berdua-duaan dalam keadaan masing-masing hanya bertuala.

Menurut sumber, serbuan dilakukan anggota Penguatkuasa Syariah Daerah Dungun selepas menerima aduan orang ramai yang tidak selesa melihat aktiviti bebas pasangan tersebut.

Kata sumber, pasangan ini dilihat kerap keluar masuk bersama di rumah yang disewa oleh si lelaki dan tindakan itu menimbulkan syak jiran berhampiran.

"Semasa serbuan di lokasi, keadaan pintu utama rumah ditutup sebelum dibuka oleh seorang lelaki yang hanya mengenakan tuala.

"Ketika membuka pintu, turut ditemukan seorang wanita yang dilihat dalam keadaan mengaibkan kerana berkemban dengan tuala sahaja," katanya.

Jelas sumber, siasatan mendapati mereka tiada hubungan sah suami isteri dan mengaku baru mengikat tali pertunangan.

"Mereka mendakwa kononnya akan berkahwin pada Jun nanti dan wanita itu datang ke rumah tersebut selepas dipanggil oleh tunangnya.

"Dakwa mereka lagi, tujuan bersama di rumah itu hanya semata-mata hendak berbincang bagaimana cara-cara hendak mengisi borang kahwin," katanya.

Mereka ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) (2001).

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan pasangan tersebut.

Jelasnya, kedua-duanya akan didakwa kerana kesalahan berkhalwat. - Sinar Online

khalwat

Artikel Lain