suria

Hospital Kerajaan Tawar Rawatan Hepatitis C Percuma

Dr S. Subramaniam.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 hospital terpilih di seluruh negara telah mula menawarkan rawatan direct-acting antiviral (DAA) dan Sofosbuvir secara percuma kepada pesakit Hepatitis C bermula awal bulan ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.  

Katanya, fasa pertama rawatan itu akan diberikan kepada 2,000 pesakit kronik Hepatitis C daripada 23,000 pesakit yang telah berdaftar bagi mendapatkan rawatan tersebut. 

Menurutnya, walaupun jumlah permulaan ini agak kecil namun kementeriannya komited dalam menambah lagi jumlah akses kepada rawatan tersebut dalam masa terdekat.  

“Kos rawatan DAA ini juga murah iaitu kira-kira RM1,000 seorang berbanding RM50,000 sebelum ini. Malah DAA juga mampu memulihkan pesakit pada kadar lebih 95 peratus,” katanya kepada pemberita setelah mengadakan lawatan kerja ke Hospital Selayang di sini, Isnin.  

Pada September tahun lepas, Dr Subramaniam mengumumkan Kabinet telah meluluskan penggunaan Hak Kerajaan di bawah Akta 1983 (Akta 291) dengan memanfaatkan penciptaan tablet Sofosbuvir 400mg yang dipatenkan, yang mana kos rawatan bagi Hepatitis C akan menjadi lebih rendah dan dengan itu lebih ramai pesakit akan dapat dirawat.

Menurutnya, keputusan melaksanakan Hak Kerajaan itu dibuat setelah usaha Kementerian Kesihatan untuk memasukkannya ke dalam Himpunan Paten Ubat (MPP) dan rundingan harga dengan pemegang paten, tidak berhasil. - Bernama

Hepatitis C

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain