suria

“Bukan Tidak Boleh, Tetapi…”

Aksi seorang bapa melakukan terjunan tali hayun bersama anak lelakinya tular sejak dimuat naik pada Sabtu. - Instagram

PETALING JAYA: Aktiviti ekstrem terjunan rope swing atau tali hayun yang ditawarkan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor terpaksa dihentikan sementara berikutan dua video berasingan melibatkan pasangan anak beranak melakukan sukan lasak itu tular sejak Sabtu.

Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat di Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Nurulhuda Ahmad Khairuddin berkata, pihaknya terpaksa meminta operator sukan lasak tersebut untuk menghentikan aktiviti tali hayun itu sehingga ia mendapat kelulusan rasmi semua agensi berkaitan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Bawa Anak 2 Tahun Terjun Tali Hayun, Netizen Yang Kecut Perut

"Bukan aktiviti itu tidak boleh dijalankan, cuma perlu dapat kelulusan daripada semua agensi yang terlibat bagi memastikan ia betul-betul selamat untuk orang awam.

"Pihak kami telah selesai mengatur perjumpaan antara syarikat tersebut dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) dan sedang dalam proses mengumpul segala dokumen yang berkaitan untuk kelulusan aktiviti itu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Jelasnya lagi, isu mengenai kelulusan sukan lasak itu juga akan dibawa untuk perhatian pentadbiran di peringkat negeri pada April ini.

"Pihak kami prihatin dengan faktor keselamatan dan memastikan setiap penerjun mengambil insurans yang disediakan pihak operator. 

Sebelum ini, mStar Online pada Ahad melaporkan, dua rakaman video yang masing-masing menunjukkan seorang bapa dan anaknya melakukan aksi tali hayun pada ketinggian 60 meter dari paras sungai.

Video pertama menunjukkan aksi berani bekas pemenang bintang realiti, Fear Factor Malaysia dan anak perempuannya berusia lebih dua tahun melakukan terjunan membuatkan netizen lemah lutut dan ada yang meremang melihatnya.

Sementara itu, dalam sebuah lagi video menunjukkan seorang lagi bapa turut melakukan aktiviti tersebut bersama anak lelakinya di lokasi yang sama, tapi pada masa berlainan.

tali hayun, Kuala Kubu Bharu

Artikel Lain