suria

Remaja Dipercayai Aibkan 'Pok Ya' Direman Tiga Hari

KUALA TERENGGANU: Dua remaja perempuan berumur 17 tahun yang terlibat dalam kes aniaya dan mengaibkan orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai 'Pok Ya' yang tular di Facebook pada Isnin direman tiga hari bermula Selasa.

Permohonan reman dilakukan pihak polis di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Mahkamah Sesyen/Majistret Sesyen Kuala Terengganu, Rosila Nik.Kes akan disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Dalam video yang tular pada Isnin, sekumpulan remaja dikatakan mengkhianati Pok Ya Cong Codei  dengan mengikat kedua-dua tangannya sambil membuka seluar lelaki itu dan mencucuh punggungnya dengan api.

ARTIKEL BERKAITAN: Pok Ya Duda Anak 4 Sebenarnya Waras Semasa Dilondeh Seluar

Rakaman video selama tujuh saat itu turut memaparkan perbuatan yang mengaibkan lelaki lemah mental itu yang dipercayai dilakukan mereka pada pukul 4 pagi di Pantai Batu Buruk, di sini.

Video berkenaan kemudiannya mendapat kecaman daripada netizen dan tidak lama kemudian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar mengesahkan laporan kejadian itu dan susulan itu pihak polis menangkap dua remaja perempuan terbabit berasal dari Hulu Terengganu yang dipercayai antara yang terlibat dalam perbuatan itu.

Polis turut merampas telefon bimbit milik mereka bagi menyiasat siapa yang merakam video itu dan motif perbuatan khianat itu dilakukan terhadap Pok Ya.- Bernama

Pok Ya, Viral, Remaja Buli

Artikel Lain