KUALA LUMPUR: Kehadiran diplomat Israel ke penganjuran Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) di Kuala Lumpur baru-baru ini, tidak disambut oleh mana-mana pegawai kerajaan termasuklah Pegawai daripada Kementerian Luar Negeri (MOFA). Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memberi sebarang kawalan keselamatan terhadap perwakilan tersebut sepanjang kehadirannya di program tersebut. “Urusan kehadiran perwakilan itu kita serahkan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat). “Ini kerana kita tidak mengalu-alukan perwakilan tersebut ke negara ini namun menerima kehadirannya di atas jemputan yang dikeluarkan PBB melalui UN-Habitat,” katanya menjawab soalan dari Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh), Selasa. Mengulas lanjut, Reezal Marican berkata, Malaysia telah menandatangani perjanjian tuan rumah pada 2017 bagi penganjuran WUF9 yang menjadi syarat wajib bagi mana-mana persidangan PBB yang diadakan di luar kawasan ibu pejabat pertubuhan itu. “Artikel 3 perjanjian tersebut menyatakan bahawa penyertaan ke forum berkenaan haruslah terbuka kepada semua negara-negara anggota PBB serta agensi-agensi khusus yang berkenaan. “Justeru itu tak timbul kerajaan Malaysia menjalinkan hubungan secara senyap-senyap dengan Israel melalui penganjuran WUF9,” katanya. Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa pendirian negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin adalah konsisten dan status hubungan Malaysia dengan Israel tidak akan berubah. “Malaysia tidak akan berkompromi selagi tiada penyelesaian konflik Israel-Palestin seperti mana yang diputuskan melalui pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB. “Kehadiran perwakilan Israel pada WUF9 ini tidak wajar dilihat sebagai satu usaha kononnya kerajaan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel kerana pendirian Malaysia amat jelas terhadap hubungan dengan Israel,” katanya. Katanya, perhatian serta usaha sewajarnya difokuskan kepada hasil penganjuran WUF9 dengan perancangan serta matlamat-matlamat yang telah dicapai demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat. “Adalah dianggarkan impak ekonomi sejumlah RM184 juta telah dijana dari acara yang berjalan selama tujuh hari ini. Dalam soal ini kita sepatutnya melihat yang mana lebih penting. “Penganjuran program ini telah memberi impak positif terutama dalam ekonomi negara dan secara tidak langsung telah menjana pendapatan industri pelancongan melalui penglibatan para peserta dari 165 negara,” katanya. - Sinar Online