suria

Sultan Ibrahim Cadang Gelaran Baharu 'Mat Rempit'

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menunggang motosikal Harley Davidson yang merupakan antara koleksi baginda ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Minggu Permotoran Malaysia 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Sabtu. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencadangkan gelaran 'Mat Rempit' diubah supaya dilihat lebih berdisiplin dan berhemah.

"Bagi saya perkataan Mat Rempit bunyinya seperti sampah masyarakat dan menggambarkan golongan samseng motosikal.

"Saya cadangkan nama Mat Rempit diubah kepada Brother Motor," titah Sultan Ibrahim yang dipetik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Malaysia Bike Week 2018 (MBW 2018) di MAEPS Serdang, Selangor pada Sabtu.

Sultan Ibrahim dalam titahnya turut mengingatkan Brother Motor supaya menghormati orang lain dan tidak menggunakan jalan raya sebagai litar lumba.

Baginda bertitah pernah menegur penunggang motosikal yang berlumba dan membuat bising di hadapan Hospital Sultanah Aminah Di Johor Bahru.

"Mungkin ada Brother Motor yang terlantar sakit pasti akan mengeluh...sampai hati lu bising-bising berlumba di luar, tak fikir ke gua tengah sakit," titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim yang berangkat ke majlis itu pada pukul 2 petang disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hampir 20,000 peminat permotoran hadir pada majlis tersebut.

Selain itu, koleksi kenderaan dan motosikal berkuasa tinggi Sultan Ibrahim antara yang menjadi tarikan sempena MBW 2018.

Jenama motosikal seperti Ducati, Benelli dan banyak lagi turut mempamerkan keluaran motosikal masing-masing.

Artikel Lain