PETALING JAYA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) tidak berpuas hati dengan larangan surcaj terhadap pembayaran melalui kad kredit kerana ia boleh mendatangkan kesulitan kepada ahlinya dan juga pelancong. Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata agensi pelancongan dan syarikat pengembaraan beroperasi dengan margin yang rendah, tidak seperti gedung runcit di pusat membeli-belah. “Disebabkan itu, surcaj perlu dikenakan terhadap pembayaran melalui kad kredit untuk memperoleh kembali kos kadar diskaun peniaga (MDR) yang dikenakan oleh bank,” katanya dalam satu kenyataan. Katanya, cara mudah untuk agensi pelancongan dan syarikat pengembaraan adalah memasukkan MDR ke dalam harga, tetapi ini tidak adil kepada sebilangan besar pelanggan yang membayar secara tunai, melalui cek atau dalam talian. “Ia memberi lebih kebaikan kepada pengguna apabila bayaran dikenakan lebih telus dan dikenakan serendah mungkin,” katanya. -Sinar Harian