suria

Telur, Ikan, Ayam Percuma!

Ab Ghani (depan, tiga kanan) bersama Penyelia Pengguna Parlimen, Roslinah Mohamad (depan, tiga kiri) mengiringi Mohd Zahari (depan, empat kiri) menyempurnakan perasmian program Jualan Sentuhan Rakyat Dun Ayer Lanas, Selasa. Foto Sinar Online

AYER LANAS: Program Jualan Sentuhan Rakyat Dun Ayer Lanas pastinya meninggalkan kesan buat warga emas di kawasan berkenaan apabila diraikan dengan begitu istimewa.

Melalui program yang bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu, mereka berpeluang mendapatkan telur, ikan dan ayam percuma sumbangan Adun Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Datuk Abdul Ghani Harun berkata, agihan 100 papan telur, 100 pek ikan dan 50 ekor ayam percuma itu disempurnakan Setiausaha Umno Bahagian Jeli, Mohd Zahari Che Mahmood.

“Agihan kepada penerima, sebagai meraikan orang-orang lama yang turut memberi sokongan terhadap program jualan ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, Selasa.

Abd Ghani dalam masa sama mengakui berpuas hati dan memuji kebijaksanaan orang Jeli dalam memanfaatkan Jualan Sentuhan Rakyat di tempat mereka.

“Walaupun kita buat pada hari bekerja, tapi mereka tetap berpusu- pusu ke sini kerana sedar harga istimewa ini tak selalu ditawarkan,” katanya.

Menurutnya, jualan pada Selasa juga mencatatkan rekod tersendiri apabila ayam dijual pada harga RM4.70 sekilogram, iaitu paling murah pernah ditawarkan dalam Jualan Sentuhan Rakyat di seluruh negeri ini.

Katanya, jumlah jualan pula mencatatkan RM90,893.54 dan ia antara nilai paling tinggi berbanding di empat lokasi dalam Parlimen Jeli sebelum ini. - Sinar Online

Mustapa Mohamed

Artikel Lain