KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan badan bukan kerajaan yang relevan bagi memastikan hak pengguna terjamin berikutan penggabungan Grab dan Uber di Asia Tenggara. Dalam kenyataan pada Selasa, SPAD menegaskan pendirian suruhanjaya itu terhadap pengawalseliaan sektor e-hailing tidak berubah dengan penggabungan tersebut. "Pihak suruhanjaya akan terus memantau dan menyelia sektor e-hailing berdasarkan rangka perundangan dan polisi sedia ada agar industri ini mampu berkembang sejajar dengan medan persaingan sihat, tahap keselamatan operasi yang baik serta memastikan kebajikan penumpang dan pemandu sentiasa terpelihara," kata suruhanjaya itu. Menurut SPAD, badan itu akan memastikan industri teksi dan e-hailing akan beroperasi dan bersaing secara adil di bawah inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme dan daya saing teksi konvensional. Pada Isnin, Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata penggabungan itu dijangka dapat memacu syarikat dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat. - Bernama ARTIKEL BERKAITAN: Penumpang Jangan Panik, Ini Jawapan Kepada Persoalan Anda Selepas Uber Sertai Grab!