suria

Kisah Aqil Dan Bingkai Gambar Buat Netizen Desak Dedah Identiti Remaja Itu

Perkongsian paparan skrin perbualan pengusaha bingkai gambar dan Aqil yang menarik perhatian ramai di Twitter.

PETALING JAYA: Kesungguhan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang bersungguh-sungguh mahu memujuk kekasihnya dengan menghadiahkan sebuah bingkai gambar telah mencuit hati netizen.

Ianya terbukti apabila perkongsian paparan skrin perbualan WhatsApp antara pengusaha bingkai gambar, Fahmi Afiq Mohd Yusof, 25, dengan remaja berkenaan yang hanya dikenali sebagai Aqil, sehingga kini diulang kicau (retweet) lebih 26,000 pengguna Twitter.

Menurut Fahmi, dia dihubungi remaja itu Ahad lalu yang bertanyakan mengenai perkhidmatan bingkai gambar custome made yang ditawarkannya.

"Yang paling mencuit hati apabila dia bercakap pasal effort untuk memujuk teman wanitanya yang berusia 14 tahun.

"Biasanya budak usia macam tu sibuk main sukan nak jadi wakil sekolah, tapi dia dah fikir pasal effort. Orang yang dah kahwin pun tak sampai tahap macam tu," ujarnya kepada mStar Online.

Menurut Fahmi lagi, dia menerima tempahan remaja berkenaan bukan bertujuan untuk menggalakkan percintaan dalam kalangan remaja tetapi tertarik dengan adab sopan pelajar Tingkatan Tiga itu.

Kerana kesopanan dan sikap yang menghiburkan, Fahmi akhirnya membuat keputusan untuk memberi bingkai gambar secara percuma sahaja kepada Aqil.

Malah, dia juga membuat keputusan untuk memberi bingkai gambar itu secara percuma setelah remaja itu meminta potongan harga untuk barangan yang ditempahnya.

"Saya terhibur dengan Aqil, jadi saya bagi percuma je. Tapi saya minta dia berjanji supaya belajar bersungguh-sungguh dan taat pada ibubapa, baru saya ikhlaskan pemberian itu.

"Sebenarnya banyak tempahan dari pelajar sekolah yang nak buat bingkai gambar untuk kekasih tapi selalunya saya tolak sebab tak nak mereka bazirkan duit belanja yang diberi ibubapa.

"Tapi Aqil ni special kes sikit. Saya terima tempahan sebab respect level dan kesopanan dia yang susah nak jumpa dalam budak-budak lain sekarang. Saya juga nak berterima kasih pada Aqil sebab dia mengajar satu benda yang orang selalu ambil mudah iaitu nilai hormat," ujarnya.

Susulan perkongsian di laman Twitter miliknya, Fahmi yang berniaga secara dalam talian dari rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan menerima mesej bertalu-talu yang memintanya supaya mendedahkan identiti Aqil.

"Selain yang minta dedahkan identiti, ramai juga yang mesej nak buat tempahan sebab terinspirasi dengan kisah Aqil. Ramai pula nak tempah bingkai gambar untuk ibubapa dan guru. 

"Ada juga yang berterima kasih pada saya. Walaupun kisah Aqil agak menghiburkan, tapi ada nilai yang boleh dipelajari di situ," kata Fahmi.

Berhubung identiti sebenar Aqil, pengusaha itu bagaimanapun memilih untuk merahsiakannya kerana dia menghormati remaja itu dan tidak mahu mengaibkannya.

Aqil, bingkai gambar

Artikel Lain