suria

YB Bergelar Doktor Bantu Warga Emas Sesak Nafas

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian (tiga, kiri) memeriksa denyutan nadi seorang warga emas yang mengalami sesak nafas ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah 'Modular System Factory Development' yang disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Taman Perindustrian Sejingkat, Rabu.

KUCHING: Majlis pecah tanah kilang pembuatan panel sistem pembinaan modular di sini pagi Rabu gempar apabila seorang warga emas mengalami sesak nafas.

Mangsa seorang warga emas dari Kampung Sejingkat di sini mengalami sesak nafas ketika menghadiri majlis  pecah tanah di tapak projek di kawasan perindustrian Demak Laut/Sejingkat yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira 10.40 pagi itu keadaan mangsa yang mengalami kesukaran untuk bernafas disedari isterinya sebelum bertindak meminta bantuan orang ramai.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kawa, Datuk Dr Sim Kui Hian yang ketika itu baru berucap kira-kira dua minit bertindak pantas meninggal pentas utama untuk membantu mangsa.

Turut sama membantu mangsa ialah Adun Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni, bekas Adun Demak Laut Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen,  dua jurufoto dari The Star dan Utusan Sarawak serta orang ramai yang hadir pada majlis tersebut.

Kui Hian dibantu Dr Hazland bertindak memeriksa keadaan serta denyutan nadi mangsa sebelum warga emas tersebut dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Selepas membantu mangsa, Kui Hian kembali ke pentas untuk meneruskan ucapan.

Abang Johari yang berucap selepas itu memuji tindakan pantas Kui Hian sambil menyifatkan Presiden SUPP itu sebagai seorang pemimpin yang mementingkan rakyat dengan segera berhenti berucap bagi menghulurkan bantuan.-- Bernama

Dr Sim, Batu Kawa

Artikel Lain