MUKADIMAH: Ini adalah pilihan raya umum kali ke-13 dalam sejarah politik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan yang ke enam sebagai wakil rakyat serta yang pertama sebagai Menteri Besar. Belum masuk pilihan raya kecil lagi. Tapi kali ini ada sedikit kelainan sebab buat pertama kalinya beliau akan berhadapan dengan 'gergasi' seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti baru seperti Bersatu selaku Menteri Besar. Kali pertama penulis bertemu dengan Ahmad Bashah, adalah ketika beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang ke-12 pada Februari 2016. Dua tahun kemudian iaitu pada Mac 2018, penulis sekali lagi berpeluang menemuramah beliau. Ahmad Bashah menyambut kedatangan penulis dengan senyuman panjang. Wajahnya sedikit kemerah-merahan - jauh lebih segar berbanding dengan keadaan kesihatannya setahun yang lalu. Kami bertanya bagaimana dengan kesihatannya sekarang. Ahmad Bashah menjawab ringkas, ia boleh dilihat dari raut wajahnya sekarang. Ya, tidak dapat dinafikan. Pada wajahnya tiada tanda-tanda kegusaran langsung walaupun beliau kini akan berhadapan dengan tokoh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang disebut-sebut akan bertanding di Langkawi, pulau legenda - pada pilihan raya umum tidak berapa lama lagi. Apatah lagi Dr Mahathir sendiri adalah anak Kedah. Namun, beliau yakin negeri Kedah di bawah pimpinannya akan menang besar. Apakah asas dan sandaran keyakinan beliau itu? Ikuti catatan pertemuan penulis dengan beliau yang berlangsung di Wisma Darul Aman baru-baru ini. *************************** “RAMAI yang bertanya kepada saya tentang Tun (Dr Mahathir Mohamad). Mana-mana saya pergi orang tanya, tak takut kah? Boleh menang kah kalau Dr Mahathir bertanding di Langkawi. Ya lah...Saya jawab Langkawi ka mana ka, Barisan boleh menang, Insya-Allah. “Ini bukan cakap kosong. Ini berasaskan tinjauan yang kita buat. Jangan ingat pembangkang saja ada tinjauan. Kami pun buat tinjauan juga. “Kedua, ini juga berdasarkan apa yang saya sendiri tengok dan bercakap dengan rakyat. Ya, masyarakat melihat Dr Mahathir sebagai orang yang banyak berjasa kepada Langkawi. Tetapi itu semasa beliau menjadi perdana menteri. Semasa beliau bersama kerajaan. “Orang Langkawi juga mahu terus pandang ke hadapan dan bukan toleh ke belakang. Orang Langkawi tahu apa yang baik untuk masa depan mereka. Mereka sepertimana rakyat Kedah yang lain dah pernah rasa sepenggal duduk di bawah PAS (2008-2013) dan pembangkang. Jadi mereka sedar dan tahu membuat penilaian. “Tapi saya nak pesanlah juga, orang Langkawi jangan buat silap, itu saja. Jangan buat kesilapan kali kedua. Segala-galanya di tangan mereka. Fikir generasi akan datang,” katanya dengan senyuman yang meleret. Jelas Ahmad Bashah, macam-macam kerajaan dah buat untuk Langkawi. Polisi pun kerajaan ubah untuk membawa kemajuan yang lebih pesat dan demi masa depan Langkawi. “Kita dah setuju nak besarkan lapangan terbang Langkawi agar orang Langkawi boleh terus terbang ke Makkah dari Langkawi. Jadi lapangan terbang antarabangsa dalam erti kata yang sebenar. Ada aerobridge dan kemudahan kelas antarabangsa. Hospital baru dan sebagainya. “Soal saya khuatir atau tidak dengan kehadiran Dr Mahathir itu saya nak terus terang cakap saya langsung tidak bimbang sebab saya tahu kerajaan negeri buat kerja, wakil rakyat buat kerja. Tapi itu tidak bermakna kita goyang kaki tidak terus bekerja kuat. “Malah saya dah bercakap dengan ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dan wakil rakyat Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Hamid. Saya dah bagi nasihat apa yang perlu dibuat. “Rakyat boleh lihat betapa serius kerajaan negeri bekerja untuk rakyat. Malah hujung bulan ini, saya akan ke Langkawi lagi untuk bertemu dengan masyarakat Langkawi dan meninjau pandangan mereka tentang calon BN nanti,” ujarnya. Nawawi adalah ketua Umno Bahagian Langkawi tapi menurut Ahmad Bashah BN Kedah masih belum memuktamadkan lagi siapa calon BN untuk Parlimen Langkawi. “Boleh jadi Nawawi sebab beliau adalah penyandang jawatan dan kita juga yakin beliau boleh memberi cabaran yang kuat sama ada Dr Mahathir bertanding atau tidak. Tapi saya tidak juga menolak ada kemungkinan kita letak muka baru. Semuanya bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti. Dalam nada yang bergurau Ahmad Bashah berkata; “Nak cari calon yang setanding dengan umur Dr Mahathir itu mungkin susah lah tapi calon lain yang sanggup buat kerja tu boleh kita cari.” PENGUNDI, CALON & KEYAKINAN LUAR BIASA Menurut Ahmad Bashah, di Kedah kini terdapat 1.2 juta pengundi. Dari jumlah itu, 400,000 lebih adalah pengundi di bawah umur 40 tahun. BN kini kuasai 20 kerusi Dewan, PAS 7, DAP 2, Bersatu 2 dan Amanah 1. Kesemuanya terdapat 36 kerusi DUN. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tiga, kiri) melihat buah mempelam yang dijual sempena Program Jelajah Muafakat Rakyat di perkarangan Wisma Darul Aman, baru-baru ini. Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob (dua, kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah Datuk Tajudin Abdullah (kiri). “Jadi akan ada calon dari kalangan pemuda, wanita dan puteri. BN perlu rebut 16 kerusi Dewan Undangan Negeri dari tangan pembangkang dan lima kerusi Parlimen. “Dah tentu akan ada muka baru dalam senarai calon. Itu pasti. Dan saya juga bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengumumkan senarai calon BN lebih awal. Ini belum pernah berlaku dalam sejarah parti tetapi apa salahnya jika ia boleh dilakukan 10 hari lebih awal. “Kita jangan takut buat perubahan. Kalau kena buat awal, buat lah apa salahnya. “Saya juga nak sebut, saya tidak ada konsep atau istilah “orang saya”. Itu bukan cara saya. Jadi siapa saja layak jadi calon jika ia memenuhi kriteria yang kita tetapkan. Kita bukan sahaja mahukan calon yang boleh menang, yang disukai tetapi juga calon yang sesuai. “Jadi pemilihan akan menjadi sangat detail kali ini sepertimana yang ditekankan oleh perdana menteri. “Saya nak Kedah menang, itu matlamat saya. Dan saya yakin selepas bekerja keras sepanjang penggal ini, daripada 36 kerusi Dewan, BN boleh menang di 30 kerusi. Baki enam kerusi lagi BN kena bekerja lebih kuat untuk menang,” tegasnya. Dan daripada 15 kerusi parlimen di Kedah, Ahmad Bashah juga yakin BN boleh tawan 13 kerusi. Keyakinan ini sangat luar biasa. Ditanya dua kerusi manakah yang beliau lihat sebagai sukar, Ahmad Bashah hanya menyebut Sungai Petani dan Padang Serai. “Dua tempat ini memang sukar tapi kita tetap akan lawan,” ujar Ahmad Bashah. Tentang Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula, Ahmad Bashah hanya berkata ringkas; “Barang diingat dulu kita yang bentang dan hampar tikar untuk dia kembali dan bertanding di Kedah. Kita yang buat kerja untuk dia, sebab kita pandang dan hormat kepada Dr Mahathir.” Mengenai dirinya sendiri, Ahmad Bashah menegaskan, dirinya tidak penting. “Yang penting ialah Kedah terus maju ke hadapan. Walaupun saya sendiri masih bersedia untuk berkhidmat kepada negeri tetapi saya ada ketua dan ketua saya ialah Datuk Seri Najib. Apa yang ketua saya putuskan saya ikut dan patuh. “PM tidak pernah tanya tentang kedudukan saya dan begitu juga dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Yang penting ialah Kedah kena menang dahulu,” tambah Ahmad Bashah lagi. Ditanya tentang agihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN, beliau berkata BN Kedah akan mengekalkan pembahagian kerusi yang sama sepertimana Pilihan Raya Umum Ke-13. Tentang senarai calon, beliau berkata, ia telah disenarai pendekkan kepada sekurang-kurangnya dua calon untuk setiap kawasan parlimen dan dewan undangan. Ahmad Bashah mengakhiri perbualannya dengan menunjukkan kemeja-T BN Kedah yang sudah pun tersedia ada di atas mejanya. Sambil tersenyum beliau berkata; “Ini dia...”