suria

Komtar Pulau Pinang Jadi Lubuk Gelandangan

GEORGETOWN: Terminal bas Komtar Pulau Pinang kini menjadi lubuk gelandangan walaupun kerajaan negeri itu mendakwa telah mencapai status sifar golongan itu pada 2009.

Kata Ketua Pasukan Petugas MCA Komtar, Tan Hing Teik, tinjauan pihaknya mendapati  lebih 50 gelandangan bermalam di sekitar kawasan itu.

"Sewaktu tinjauan selama seminggu pada waktu malam, kebanyakan mereka tidur di bangku yang disediakan di terminal bas.

"Malah ada juga yang tidur di atas kertas sepanjang koridor di Komtar," katanya.

Menurut Hing Teik lagi, dia juga melihat banyak gelandangan di Jalan Campbell, Upper Penang Road, terminal feri dan beberapa laluan lain di sekitar Komtar.

Sewaktu dihampiri, sesetengah mereka mendakwa hidup sebatang kara tanpa keluarga dan ada juga yang baru keluar dari penjara.

"Sesetengah gelandangan di situ berusia dalam lingungan 50-an dan 60-an. Saya rasa kerajaan negeri perlu memandang serius isu ini.

Malah, beliau turut mempersoalkan perkembangan kertas cadangan kerajaan negeri yang mahu membina kompleks untuk gelandangan di Seberang Perai Selatan seperti yang diumumkan pada Mac 2009.

"Saya bersetuju dengan projek itu dan saya harap kerajaan negeri akan membina kompleks serupa di bahagian pulau.

"Saya juga akan mencadangkan kepada parti untuk membina pusat komuniti bagi warga emas dan kompleks gelandangan sebagai sebahagian manifesto pilihan raya bagi kawasan Komtar," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Komtar, Teh Lai Heng, ketika dihubungi berkata, salah satu kertas cadangan itu berhasrat untuk menyelesaikan isu gelandangan dengan menyediakan rumah transit buat mereka.

"Kami sedang mencari rumah transit yang sesuai. Di sana, mereka perlu mendaftar, jadi kami tahu pergerakan harian mereka.

"Saya juga berharap NGO seperti Kawan dan The Lighthouse memberi sumbangan untuk menyediakan makanan kepada golongan itu. Usaha ini pastinya dapat mengurangkan jumlah gelandangan," ujar Lai Heng.


Komtar, gelandangan, MCA

Artikel Lain