suria

Padah Bakal Doktor Jadi Bapa Ayam

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Seorang graduan perubatan dari universiti di Mesir dipenjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak pada Khamis, kerana kesalahan hidup atas hasil persundalan seorang kanak-kanak berusia 14 tahun.

Hakim, Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Azzuar Yusoff, 30, yang mengaku hidup daripada hasil persundalan kanak-kanak itu, di Berjaya Times Square Hotel dan Servis Apartment, Jalan Imbi, pukul 2 sehingga pukul 3.30 petang pada 26 Januari 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah, namun menukar pengakuannya kepada bersalah selepas pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh hanya membuat pengakuan selepas beberapa saksi selesai memberi keterangan.

“Ini adalah kesalahan serius, bukan sahaja salah dari segi undang-undang, malah dari sudut agama dan membabitkan kanak-kanak.

"Tertuduh adalah seorang yang bijak dan sebagai orang dewasa sepatutnya boleh membuat pertimbangan antara salah dan benar. Apa juga alasan untuk dia menawarkan khidmat seks bukanlah untuk tertuduh mengambil kesempatan,” hujahnya.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Suzanawati Ismail, merayu dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf dan memohon diberikan pilihan kedua.

“Tertuduh adalah penuntut dalam jurusan perubatan dan pembedahan. Tertuduh bersedia menawarkan kepakarannya untuk banduan yang berada di dalam penjara.

"Tertuduh juga telah dibuang keluarga dan masa depannya musnah," katanya.

Tambah peguam itu, mangsa dalam kes itu mencari tertuduh untuk mendapatkan wang dan menggunakan wang yang diperoleh bagi membeli barangan.

“Mangsa kini bebas, sedangkan tertuduh berada di penjara menghabiskan masa mudanya,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, ketika tangkapan dilakukan, mangsa dilihat sedang menunggu seseorang, berada di pekarangan pusat beli-belah berkenaan.

Hasil siasatan, remaja itu mengesahkan dia melakukan aktiviti pelacuran selepas ditawarkan oleh tertuduh, selain mendakwa dilanggan oleh dua lelaki pada 26 Januari 2017 antara jam 2 sehingga jam 3.30 petang di tempat kejadian.

Mangsa juga mendakwa mendapat bayaran khidmat seks yang diberikan oleh pelanggan tetapi dibayar kepada tertuduh. - Sinar Online

bapa ayam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain