GEORGETOWN: Ikan kerapu gergasi seberat 152 kilogram (kg) dijual kepada pemilik sebuah kafe di Pengkalan Weld di sini pada harga RM7,600. Saiz ikan yang begitu besar itu telah menarik perhatian orang ramai yang berkunjung ke Pasar Lebuh Cecil di sini. Nelayan Khor Swee Boon, 48, berkata ikan kerapu itu atau dikenali dengan nama loong tan dalam kalangan penduduk setempat berjaya ditangkap pada Selasa malam. Katanya, saiz dan beratnya menyebabkan tenaga empat lelaki digunakan untuk mengangkatnya untuk diletakkan di pasar itu. "Ini adalah ikan paling besar berjaya ditangkap tahun ini.Saya tidak mengukur panjangnya tetapi ia mungkin mencecah sehingga 1.8 meter," kata Swee Boon yang sudah lebih 30 tahun menjadi nelayan. Tangkapan itu kemudiannya dipotong sebelum dijual kepada pemilik Kafe Ka Bee, Chew Kean Ghee, 46.