suria

Mi Calong Tulang Ayam Tetap Unik

Ahmad menunjukkan mi calong yang menjadi tular di laman sosial Facebook. Sinar Online

MASIH ramai tidak mengetahui ada lokasi makan yang popular di hujung Kampung Alor Ladang, Berserah, Pahang yang sering diserbu pengunjung tempatan, mahupun luar negeri ini untuk menjamu selera di situ.

Warung Mi Calong Tulang Ayam Pak Usop yang terletak kira-kira dua kilometer daripada jalan utama Beserah menyajikan hidangan istimewa mi calong dan mi kari tulang ayam yang mampu memberi kelainan kepada penggemar makanan tersebut.

Meskipun tersorok, ia tidak menghalang orang ramai yang mahu menikmati keenakan masakan air tangan turun temurun daripada keluarga Mohd Ikhwan Mohd Yusof, 39, yang sudah bertapak di kampung terbabit sejak 18 tahun lalu.

Bapa kepada tiga empat anak ini berkata, warung peninggalan arwah ayahnya itu diusahakan sejak beberapa tahun lalu yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

“Saya akui masih ramai yang tidak menyedari kewujudan warung ini, tapi ia tetap dapat tumpuan pelanggan pelbagai bangsa yang mahu rasa resipi temurun keluarga saya.

“Bila dia orang dah makan, pasti ketagih untuk terus makan mi calong dan mi kari tulang ayam,” katanya ketika ditemui di kedai makannya itu.

Mohd Ikhwan berkata, setiap hari dia menyediakan lebih kurang 20 kilogram kaki ayam untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Menurutnya, mi calong bukan saja rasa manis dan lain daripada biasa kerana menggunakan herba dan rempah asli untuk merebus tulang ayam.

“Kami jual mi calong dan mi kari pada harga RM3.50 hingga RM4 bagi menu biasa. Manakala bagi yang ‘Super’ pula sekitar RM6.30 hingga RM7,” katanya.

Selain mi calong, menu lain yang disediakan ialah rojak ayam, rojak mi ayam, keropok dan pisang goreng.

Sementara itu, seorang pengunjung yang ditemui, Ahmad Roslan, 47, mengakui mi calong tulang ayam dijual di situ terdapat keunikan berbanding di restoran.

“Di Beserah ini ada banyak mi calong, tapi bagi saya ini mi calong yang paling sedap di sini. Sebab rasa dia lain dari yang lain.

"Saya sanggup datang jauh selepas orang tularkan warung ini. Ternyata ia berbaloi untuk dikunjungi,” katanya. - Sinar Online

mi calong

Artikel Lain