suria

Ikan Paus Terdampar Di Pantai

Ikan paus terdampar di pantai Kampung Indarason Laut, Kudat, awal pagi Isnin. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Seekor ikan paus, sepanjang kira-kira 4.5 meter dan dianggarkan seberat 2.2 tan, dijumpai terdampar di pantai Kampung Indarason Laut, Kudat pagi Isnin.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 5.05 pagi berhubung ikan paus itu yang ditemui masih hidup.

"Setelah menerima panggilan dari Pusat Kawalan Operasi Kota Kinabalu, petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah Kudat terus bergerak ke lokasi.

"Apabila tiba di lokasi anggota APMM dengan kerjasama agensi yang terlibat menyiram air laut pada ikan paus yang terdampar di tepi pantai berkenaan untuk mengelak ikan tersebut mati, sebelum ikan paus itu dipindahkan ke laut," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Menurut agensi itu, paus tersebut berjaya dialihkan semula ke laut dan operasi ditamatkan pukul pukul 10.08 pagi.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi itu ialah polis, Taman-Taman Sabah, dan Jabatan Perikanan. - Bernama

ikan paus, APMM

Artikel Lain