suria

Jualan Murah Punya Pasal, Pintu Kedai Victoria's Secret Nyaris Roboh

PETALING JAYA: Sikap rakyat Malaysia yang menyukai jualan murah bukan lagi rahsia.

Video tular yang berlaku di salah sebuah cawangan Victoria's Secret di sebuah pusat membeli-belah di Kota Kinabalu, menunjukkan keadaan huru-hara diserbu orang ramai.

Kekecohan turut menyebabkan pintu premis ditolak berulang kali semasa mahu menutupnya, sehingga pengawal keselamatan terpaksa mengawal keadaan.

Salah satu video yang tular menunjukkan orang ramai menyerbu untuk mendapatkan botol semburan wangian badan.

Berdasarkan semakan The Star terhadap emel promosi Victoria Secret, mendapati koleksi produk semburan Mist rangkaian itu dijual di premis pada harga RM29 setiap satu, dari 31 Mac sehingga 1 April.

Diskaun 63 peratus yang menarik perhatian itu mungkin menyebabkan produk tersebut menjadi kegilaan, berikutan harganya kebiasaan dijual RM79 sebotol.

Menerusi sebuah video lagi, seorang wanita berambut ikat tocang dan berpakaian warna hitam dapat dilihat menjerit berulang kali kepada orang ramai di sekelilingnya.

Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada wanita berkenaan adalah kakitangan premis atau pelanggan.

Jeritan itu mengejutkan seorang kakitangan lelaki yang ketika itu cuba menutup pintu premis, dan kemudian beralih pandangannya terhadap wanita tersebut.

Menerusi akaun Twitter @KKCity, yang dikatakan pengikut sebagai 'mata dan telinga komuniti' berkongsi notis yang ditampalkan di pintu masuk premis terbabit.

Peringatan itu memaklumkan para pelanggan bahawa promosi berakhir pada pukul 3 petang, dan premis tersebut ditutup serta-merta selepas berlaku insiden kekecohan itu.

Semakan di media sosial menunjukkan barisan beratur yang panjang di luar premis sebelum pukul 10 pagi lagi pada hari berkenaan.

Twitter @KKCity yang turut berkongsi video menyaksikan ramai pengikut laman sosial mengkritik terhadap pelanggan yang mengambil kesempatan terhadap jualan murah itu.

Bagaimanapun, seorang pengguna Twitter @dkManeyMohd lebih kecewa dengan pengurusan premis, dengan menyifatkan mereka sepatutnya menyusun strategi dengan baik bagi mengendalikan para pelanggan apabila berlakunya acara jualan seumpama itu.

Victoria Secret

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain