PETALING JAYA: Tanggal 2 Februari 2018 merupakan hari bahagia buat seorang wanita yang bukan saja bergelar isteri, bahkan menjadi ibu kepada dua anak perempuan hasil perkahwinan suami dengan isteri terdahulu. Namun jodoh dan ajal di tangan Tuhan, momen indah Nor Hanem Senan, 30, diakhiri dengan tragedi apabila kereta yang dinaiki empat beranak itu terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori kontena di Bakri, Muar di Johor, 27 Mac lalu. Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11 malam itu, suaminya, Shahrill Muhammad, 36, dan anak kedua, Arissa Rania, 8, maut di tempat kejadian. Kereta yang dinaiki empat beranak terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena. Nor Hanem pula kritikal dan dirawat di hospital selama beberapa hari, dan pada Isnin, sehari selepas dia dibenarkan keluar wad, seorang lagi anaknya, Marissa Damia, 9, pula menghadap Ilahi. Begitu besar dugaan yang dihadapi pengusaha butik pengantin ini, dan dia cuba menghilangkan kedukaan itu dengan meluahkan perasaan di laman sosial Facebook. “I minta maaf sebab tak dapat jaga you di sana, cuma mampu titipkan doa dan amalan buat you. I minta maaf sebab malam kemalangan tak dapat selamatkan you. “Sedih sangat sayang, pilu... semua kejadian di depan mata, you pergi pun di sebelah I... I tak pengsan, I sedar. Allahuakbar, cuma mampu menangis dalam hati. “Ada hikmah kita suruh anak-anak tidur kerana mereka tak saksikan betapa ngerinya kemalangan yang terjadi. Sayang, I harap you bahagia di sana, harap sangat Mia, Caca (panggilan anak-anak) boleh bawa you ke syurga Allah yang indah,” katanya menerusi beberapa posting yang menjadi tular. Nor Hanem, suami dan anak-anak pada majlis perkahwinannya, Februari lalu. Nor Hanem ketika dihubungi mStar Online berkata, kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari rumah mertua di Tanjung Agas ke rumah keluarganya di Air Hitam, Muar. Akibat kemalangan itu, katanya, dia mengalami patah tujuh tulang rusuk, kecederaan hati (tahap empat), limpa (tahap dua) dan paru-paru serta jangkitan pada mata kanan. “Saya dinasihatkan untuk berehat selama beberapa bulan, mungkin tiga sehingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini. Katanya, perkongsian secara terbuka di laman sosial kerana mahu meluahkan perasaan yang terbuku di hati sejak tragedi itu. Dipinjamkan suami dan anak-anak tiri yang dianggap sebagai anak sendiri, Nor Hanem reda dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah. Walaupun sekejap tapi cukup bermakna, itu yang dirasai wanita ini yang tidak putus-putus bersyukur kerana diberi peluang mengecapi bahagia menerusi perkahwinan kali kedua buat dirinya dan arwah suami. “Saya tidak terkilan dengan apa yang dah berlaku. Selama 52 hari saya disatukan bersama suami dan anak-anaknya, tetapi ia cukup memberi kesan dalam hidup saya. “Arwah suami dan anak-anak cukup baik, periang dan banyak memberi sokongan. Mereka menjadi ‘jiwa’ dalam hidup saya. “Saya berharap kenangan manis ini dapat memberi kekuatan dan semangat untuk terus menjalani kehidupan, tanpa melupakan segala kebahagiaan kami bersama,” katanya. Video terakhir Nor Hanem bersama suami.