KUALA LUMPUR: DAP mengesahkan bahawa parti itu tidak akan menggunakan logo roket dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini. Ini adalah kali pertama dalam sejarah, logo roket DAP tidak digunakan untuk bertanding dalam PRU. "Kami telah bertemu dan membuat keputusan menggunakan satu logo di bawah Pakatan Harapan. Tentunya ia bukan keputusan yang mudah untuk parti ini tapi kami sepakat untuk menggunakan logo yang sama," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng. Beliau ditemui sewaktu sidang media di lobi parlimen pada Khamis. Bagaimanapun, Guan Eng memberitahu sayap DAP di Sabah dan Sarawak tidak akan menggunakan logo Pakatan Harapan dalam kempen pilihan raya kali ini. "Mereka berbeza sebab mereka ada autonomi. Jadi kami menghormati perbezaan ini dan mereka boleh menggunakan logo roket DAP," ujarnya lagi. Sementara itu, Guan Eng juga tidak menyatakan sama ada Pakatan Harapan akan bertanding di bawah logo PKR. "Ia akan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat (6 April). Tunggu esok sahaja," katanya. Guan Eng juga tidak menolak kemungkinan wujudnya golongan akar umbi DAP yang tidak selesa untuk bertanding menggunakan logo PKR. "Kita tak nafikan impak itu. Namun, penting bagi kita untuk mereka bertanding satu lawan satu bagi menumbangkan Barisan Nasional," katanya. Pada Rabu, The Star melaporkan Pakatan memberi bayangan untuk menggunakan logo PKR dalam PRU14. Sehari sebelum itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata, pihak pembangkang sudah menetapkan logo yang akan digunakan mereka namun hanya akan mendedahkannya pada 6 April. Pakatan Harapan tidak boleh menggunakan logo rasminya untuk bertanding dalam pilihan raya umum kerana Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak untuk mendaftarkan mereka sebagai gabungan rasmi yang sah. Ini berikutan siasatan yang masih dijalankan berhubung ahli parti dalam mesyuarat agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Disember tahun lalu. Pakatan terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Parti Amanah Negara.