KUCHING: Mayat seorang wanita hampir reput ditemukan di sebuah rumah di Kampung Pasir Pandak, Santubong pada Selasa lepas. Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek dalam kenyataannya pada Khamis berkata mayat wanita yang berusia 35 tahun itu dijumpai dalam keadaan tergantung dan sudah meninggal dunia antara empat hingga lima hari. “Melihat keadaan si mati, dia dipercayai telah meninggal sekitar empat atau lima hari, hasil siasatan awal juga mendapati mangsa adalah seorang balu yang mempunyai dua orang anak serta tinggal seorang diri di sebuah rumah milik bapanya. “Walaubagaimanapun, bapa si mati dan ahli keluarga yang lain termasuk dua orang anaknya tinggal di rumah berasingan di kampung yang sama. Menurut adik si mati, kakaknya itu sering merayau-rayau di kawasan kampung dan sering bercakap seorang diri,” katanya. Mayat wanita berkenan kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- Bernama