KUALA LUMPUR: Pengundi muda dikenal pasti antara 20 hingga 30 peratus kumpulan yang belum membuat keputusan untuk memilih calon atau parti politik pada PRU14. Kumpulan itu yang dianggarkan mencecah hampir 10 juta pengundi itu berusia antara 21 hingga 49 tahun. Fakta ini disampaikan Pengerusi Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr. Adnan Hussein. "Mereka ini boleh dikatakan pengundi atas pagar dan pihak media serta parti politik boleh merebut peluang untuk memastikan keputusan dibuat pada hari mengundi nanti. "Kumpulan ini adalah pengguna media sosial yang aktif dan bermakna mereka ada di mana-mana kerana menggunakan gajet dan telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat," katanya pada Forum Media dan Komunikasi Menjelang PRU14 di sini, Khamis. Forum anjuran Institut Akhbar Malaysia(MPI) dan Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia ini dihadiri ahli akademik dan pengamal media tempatan. Menurut Adnan lagi, pihak media boleh berperanan untuk mempengaruhi pengundi membuat keputusan dengan mengetengahkan bahan berita yang diyakini. "Kumpulan ini mahukan kandungan yang positif dan menjamin masa depan, bukannya kutuk mengutuk atau kata-kata retorik yang sukar dipercayai," katanya. Katanya, daripada 80 peratus pengundi negara ini yang dijangka keluar menunaikan tanggungjawab, antara 25 hingga 30 peratus sudah membuat pilihan masing-masing. Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani pula menyebut, tumpuan perlu diberikan kepada pengundi berusia antara 21 hingga 39 tahun. "Mereka ini yang jumlahnya mencecah kira-kira tujuh juta perlu dipikat, selain pengundi pertama kali seramai 1.96 juta," katanya. Menurutnya, media sosial adalah platform terbaik untuk mendekati kumpulan sasar ini memandangkan ia menjadi budaya dan amalan hidup mereka.