suria

“Tak jamah tapi temankan saya sahur pada hari terakhir dia...”

Siti Muhaini dan Muhamad Husaini bergelar suami isteri kira-kira tiga minggu lalu. Foto Facebook Ninie Rozaini

PETALING JAYA: Genap tiga minggu bergelar isteri pada Jumaat lalu, seorang wanita diduga dengan ujian apabila suaminya pergi menghadap Ilahi. 

Suaminya, Muhamad Husaini Jamil, 28, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan selepas menjadi mangsa langgar lari apabila motor yang dinaikinya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat Subang.

Menerusi satu posting di halaman Facebook Ninie Rozaini yang kini tular, wanita itu meluahkan perasaan mengenai pemergian suami tercinta.

“Assalamualaikum Muhamad Husaini bin Jamil. Hai suami! I rindu you! Kita baru kahwin selama tiga minggu dan hari ini 6 April 2018, you pergi tinggalkan I untuk selamanya.

I  tahu Allah lebih sayangkan youlah... sayang. Walaupun I  jadi isteri you selama tiga minggu, I  bersyukur. Ni apa yang Allah dah tulis, meninggal pada hari Jumaat yang mulia,” katanya yang turut berkongsi gambar-gambar perkahwinannya.

Wanita berkenaan, Siti Muhaini Mohd Rozaini, ketika dihubungi mStar Online berkata, ketika kejadian pada pagi Jumaat, arwah suami dalam perjalanan dari kediaman mereka di Setia Alam, Shah Alam ke tempat kerja di Subang.

Jelas anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini, dia sempat menghantar suaminya ke luar rumah untuk pergi bekerja pada kira-kira pukul 6.15 pagi sebelum mendapat panggilan telefon berhubung berita pemergian suami kira-kira 45 minit kemudian.

Lebih dikenali sebagai Ninie, wanita berusia 27 tahun ini berkongsi kenangan terakhir bersama arwah suami apabila menemaninya bersahur pada hari kejadian.

“Saya berpuasa ganti dan puasa sunat sempena bulan Rejab. Dah tiga hari saya sahur seorang, dan masuk hari keempat pada Jumaat lepas, dia (suami) temankan saya bersahur.

“Dia banyak mendiamkan diri dan hanya memandang saya makan. Dia cuma cakap dia izinkan saya untuk berpuasa. Dia tak jamah tapi sudi temankan sahur pada hari terakhir dia...,” katanya dengan nada sebak.

Walaupun tidak menjamah sedikit makanan semasa bersahur, Ninie yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat di Klang berkata, suaminya pada malam sebelum kejadian meminta untuk dibekalkan telur masak hancur (scrambled eggs) dengan roti bersama sosej sebagai sarapan pagi di tempat kerja.

"Masa dia nak keluar pergi ke tempat kerja, saya sempat mencium tangannya dan dia cium dahi saya. Dia kata ‘sayang... nanti jumpa you lagi’.

“Tapi tu lah, ajal maut di tangan Tuhan. Tak sampai sejam dia ke tempat kerja, saya dapat panggilan yang dia pergi buat selama-selamanya,” katanya sambil menambah mereka bercinta selama empat tahun sebelum mendirikan rumah tangga.

Ninie menggambarkan suaminya yang berasal dari Kuala Lumpur sebagai seorang yang begitu baik dan penyayang, tidak suka mengambil tahu hal orang lain.

Seminggu sebelum kejadian, katanya, suami menyuarakan keinginan untuk melihat gambar perkahwinan mereka yang dirakamkan oleh jurugambar profesional.

“Tapi dah takdir, dia tak sempat untuk melihat gambar-gambar tu. Saya diberitahu pihak jurugambar akan mempercepatkan koleksi gambar perkahwinan dan InsyaAllah akan mendapatnya beberapa hari lagi, mungkin minggu depan.

“Tak ada apa yang terkilan di hati saya kerana arwah seorang suami yang begitu baik. Cuma kami tak sempat untuk menunaikan umrah bersama keluarga seperti yang dirancang pada bulan puasa ni.

“Tapi Allah lebih sayangkan dia. Saya mendoakan dia agar tenang di sana dan berharap Allah memberikan kekuatan kepada saya menjalani kehidupan tanpa suami di sisi,” katanya yang turut memberitahu mereka tidak sempat untuk berbulan madu dan hanya merancang untuk berbuat demikian selepas Aidilfitri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain