suria

Akta Antiberita Tidak Benar diwarta

KUALA LUMPUR: Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara awal bulan ini, digazetkan pada Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Berucap pada majlis pelancaran Hari Wartawan Nasional (Hawana), beliau menolak kebimbangan sebilangan para wartawan kononnya akta baharu itu akan digunakan untuk menyekat kebebasan mereka dalam melaporkan berita.

"Tetapi saya ingin maklumkan, pandangan ini tidak tepat lagi, tidak benar kerana antaranya, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, melalui Seksyen 8A telah menjadi kesalahan untuk menyiarkan berita palsu.

"Meskipun terdapat peruntukan undang-undang sedia ada, masalah bagi membendung penyebaran berita tidak benar, tidak dapat dikawal secara efektif dan menyeluruh, berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas serta kompleks," katanya.

Najib berkata akta tersebut adalah berpaksikan kepentingan rakyat bertujuan melindungi orang awam daripada penyebaran berita tidak benar selain ia berunsur pencegahan yang mana setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar dan sahih.

Beliau berkata akta itu juga tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara.

Bercakap di hadapan kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh tanah air, perdana menteri menegaskan kerajaan sentiasa memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan telah melaksanakan kebebasan media melalui pelbagai langkah transformasi.

Katanya ia termasuk pelaksanaan transformasi undang-undang seperti melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012, selain transformasi media dengan memansuhkan lesen mencetak dan permit percetakan.

"Ini ternyata berbeza dengan track record kebebasan bersuara di zaman pemimpin utama pembangkang masa kini, yang dulunya pernah memerintah negara ini selama 22 tahun," katanya.- Bernama

Akta Antiberita Tidak Benar

Artikel Sebelum

Artikel Lain