suria

Di mana ibu kandung Nur Aaliya Safiyya?

Ibu kandung kepada Nur Aaliya Safiyya dicari bagi memudahkan proses pendaftaran sijil lewat kelahiran. Foto Sinar Online

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri menjejaki ibu kandung kepada anak angkat mereka dikenali Nur Aaliya Safiyya yang baru berusia 30 hari, dipercayai berada di sekitar utara Semenanjung.

Azizul Ariffin, 32, dari Taman Serindit berkata, dia bersama isteri, Rasliny Abd Razak, 35, mengambil anak angkatnya itu sejak berusia tiga hari di mana proses penyerahan itu dibuat di hadapan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, 13 Mac lalu.

Menurutnya, dia dimaklumkan bahawa bayi berkenaan diserahkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri oleh ibu kandung yang berusia 20-an kepada seorang wanita di Kota Kuala Muda pada 12 Mac lalu.

"Wanita itu bersetuju untuk mengambil bayi tersebut kerana ibu kandung bayi itu mengatakan tidak mahu menjaga anak tersebut dan sanggup membiarkan di mana-mana sahaja,” katanya.

Menurut Azizul, atas dasar belas kasihan, wanita berkenaan cuba menyelamatkan Nur Aaliya sebelum diserahkan kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dalam urusan kebajikan berkaitan.

“Kami juga tanya wanita itu dan NGO berkaitan tentang ibu kandung Nur Aaliya Safiyya, namun mereka kata dia sudah menghilangkan diri. Nombor telefon yang dibagi juga tidak dapat dihubungi,” katanya.

Azizul berkata, pencarian ibu kandung bertujuan melengkapkan syarat melalui permohonan mendapatkan sijil kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara yang masih lagi belum diluluskan sehingga kini.

Katanya, bayi comel seberat anggaran 3 kilogram semasa dilahirkan itu dipercayai dilahirkan dalam sebuah rumah di Pulau Pinang, pada pukul 7 malam, 11 Mac lalu.

Menurut Azizul, dia dan isteri amat menyayangi bayi tersebut dan bersedia menjaga seperti anak sendiri setelah menunggu 10 tahun untuk mendapat cahaya mata.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Azizul di talian 019-4706255. - Sinar Online

Artikel Berikut

Artikel Lain