suria

Daftar pemilih PRU14 boleh disemak mulai Isnin - SPR

PUTRAJAYA: Semakan daftar pemilih pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan bermula Isnin depan (16 April), kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR dalam satu kenyataan hari ini berkata semua pemilih berdaftar boleh membuat semakan mengenai maklumat lengkap daftar pemilih mereka yang terkini untuk mengetahui tempat mengundi di bahagian pilihan raya masing-masing.

Semakan  daftar pemilih PRU14  boleh dibuat melalui pelbagai kaedah antaranya menggunakan aplikasi mudah alih MySPR Semak yang  boleh dimuat turun dalam Google Play Apps atau Apple Apps secara percuma, katanya.

SPR berkata berikutan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian  Pilihan Raya Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang telah dikuatkuasakan, pemilih berdaftar dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat daftar pemilih mereka lebih awal agar memudahkan perancangan pada hari pengundian.

"Sekiranya  semakan telah dibuat dan pemilih telah mengetahui maklumat pusat mengundi  serta tempat mengundi  (saluran), maka pada hari mengundi mereka tidak perlu membuat semakan lagi di kaunter SPR (barung semakan) di pusat mengundi,” katanya.

Aplikasi MySPR semak juga menyediakan kemudahan untuk mengetahui nama calon yang bertanding di sesuatu bahagian pilihan raya dan  mendapatkan keputusan pilihan raya yang dipertandingkan, kata SPR.

Tambah SPR, pemilih berdaftar  boleh membuat semakan melalui pautan https:// pengundi.spr.gov.my serta menelefon ke talian hotline  03-88927018 atau  mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri.

Daftar pemilih PRU14 juga boleh disemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu dengan menaip SPR nombor kad pengenalan dan hantarkan ke 15888.

SPR   menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.-- Bernama 

PRU14, SPR, daftar pemilih

Artikel Lain