suria

Tujuh negeri kategori 'panas' sepanjang PRU14

Gambar Hiasan

IPOH: Tujuh negeri dikenal pasti sebagai sebagai ‘kawasan panas’ pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata negeri terbabit ialah Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Sabah dan Sarawak.

“Negeri-negeri ini antara yang diberikan fokus agar tidak timbul sebarang ancaman kepada ketenteraman awam,” katanya pada sidang media pada program ‘Bebas Jenayah dan Dadah, Masyarakat Kerian Sejahtera’ di Parit Buntar, Jumaat.

Menurutnya di Perak sahaja, sebanyak 23 ‘kawasan panas’ di Perak perlu dipantau khususnya Kuala Kangsar, Hilir Perak, Taiping dan Ipoh.

“Semua sedia maklum seramai 1,131 individu kita akan pantau pada PRU kali ini, dengan di Perak sahaja seramai 440 individu yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada ketenteraman awam juga akan diawasi pada pilihan raya umum kali ini,” katanya.

Beliau berkata daripada 440 individu terbabit, 23 diberi tumpuan khusus yang akan dianalisis serta dinilai dari semasa ke semasa.

Dari segi penugasan anggota dan pegawai, Mohamad Fuzi berkata Bukit Aman menghantar tambahan 700 pegawai dan anggota bertugas di Perak bagi membantu kontinjen negeri sepanjang PRU14.

Mengulas Akta Antiberita Tidak Benar 2018, beliau berkata sejak digazetkan dua hari yang lepas, PDRM telah menjalankan langkah proaktif dengan menyediakan pegawai penyiasat yang diletakkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Jabatan Siasatan Jenayah.

“Kalau perlu kemungkinan PDRM akan menambah satu bahagian atau cawangan khusus untuk menangani peringkat Bukit Aman atau kontinjen.

“Polis telah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab berkaitan dengan akta ini, jadi kita akan melatih pegawai kita di seluruh negara dan setiap negeri juga akan ada ketuanya untuk menjalankan tugas berkaitan akta ini,” katanya.

Sementara ketika berucap di majlis itu, beliau berkata kadar jenayah di Perak bagi tempoh Januari hingga 10 April lalu mencatatkan penurunan 149 kes atau 9.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 1,335 kes dicatatkan bagi tempoh berkenaan berbanding 1,504 kes untuk tempoh sama tahun lalu, katanya.

Dari segi pembanterasan jenayah dan kegiatan berkaitan dadah, beliau berkata sebanyak 2,576 tangkapan dilakukan bagi tiga bulan pertama tahun ini di Perak berbanding 2,639 tangkapan untuk tempoh sama tahun lepas.- Bernama


Fuzi, PRU14

Artikel Lain