PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan senarai calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh tujuh atau 10 hari sebelum penamaan calon pada 28 April nanti, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Bagaimanapun, beliau berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak belum lagi menetapkan tarikh pengumuman itu. "Saya jangka barangkali seminggu atau 10 hari sebelum penamaan calon. Dalam tempoh itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kualiti Pendidikan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini Ahad. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal 5 Mei. Ditanya mengenai senarai calon BN berubah, Tengku Adnan menafikan isu itu, sebaliknya menyifatkan orang tidak faham apa yang BN lakukan untuk menyenaraikan calon yang rakyat mahu dan suka, bukan semata-mata disukai oleh parti atau individu. “Senarai calon tidak diubah-ubah. Kita mahu calon terbaik bagi mendapat kemenangan dan sebagai parti bertanggungjawab, selepas Najib membentangkan Manifesto BN, kita mesti mencapai janji kita. Pada PRU13, BN telah menepati janji dan lebih 97.4 peratus telah dicapai. "Janji BN sentiasa ditepati kerana BN merupakan kerajaan bertanggungjawab. Sekiranya, sekali lagi kita diberikan mandat, kita akan laksanakan yang terbaik untuk rakyat," katanya. Ditanya mengenai pertukaran kerusi antara parti komponen BN, Tengku Adnan berkata ada beberapa kerusi dibincang yang mana kerusi asal MCA atau Gerakan diberikan kepada Umno atau kerusi asal Umno dipulangkan kepada MIC, Gerakan dan MCA. "Ini adalah kerana BN sentiasa amalkan perbincangan berkonsepkan konsensus kerana kita adalah parti berbilang kaum dan agama. Kita bantu semua bangsa dan agama dan tidak pernah menolak sesiapa daripada mendapatkan hak kepentingan agama dan bangsa," katanya. Ditanya mengenai tindakan Pemuda Umno yang menurunkan bendera di Wangsa Maju, Tengku Adnan berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu itu, dan akan mengambil tindakan tatatertib selepas meneliti kamera litar tertutup (CCTV) minggu hadapan. "Pemuda Umno menuduh DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang menurunkan bendera itu. Saya tanya DBKL. Di Umno, kita ada tata etika dan peraturan parti. Nama calon-calon belum diputuskan lagi. Kenapa ghairah, kenapa dengar cerita orang. Ini macam guruh di langit, air di tempayan dibuang. "Saya cukup tidak gembira. Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan, saya amat sedih dan kecewa. Mana prinsip wasatiyah, wala' dan tabayyun itu," katanya. Pada 13 April lepas, media melaporkan Pemuda Umno membekukan semua aktiviti mereka kerana kecewa apabila mendapat khabar bahawa Parlimen Wangsa Maju akan diserahkan kepada MCA. Berhubung pemasangan bendera parti di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Tengku Adnan berkata beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membenarkan mana-mana parti politik yang telah mendapatkan kebenaran untuk memasang bendera di tiga kawasan itu. "Saya tidak kacau, asalkan ada permohonan. Saya tahu ada sesetengah pihak mencabut bendera BN di Putrajaya. Saya tidak bising kerana yang penting, kita utamakan apa yang dilakukan untuk negara. "Namun, parti politik termasuk BN tidak dibenarkan ikat bendera di tiang lampu atau pokok atau lampu isyarat. Kalau didapati tidak betul, seperti di Titiwangsa, saya arahkan bendera itu diturunkan dan buat semula," katanya. - BERNAMA